Wednesday, April 15, 2009

**Kesabaran insan yang bernama manusia**

Hari ni 13 April 2009, lebih kurang jam 2.20 petang aku sedang menanti kehadiran bas Sani Express untuk pulang ke kampus ilmuku, UKM. Minggu ni study week, jadi seminggu cuti, sengaja aku mengambil kesempatan untuk pulang ke rumah orang tuaku bersama abangku. Cuma nasib tidak menyebelahi kerana aku terpaksa pulang sendirian tanpa ditemani abang sebagaimana aku mula2 pulang ari tu.


Perut dah ku isikan, air dah ku belikan sebagai bekalan di dalam bas nanti, apa lagi ya yang aku terlupa?? Sungguh, aku merasakan seperti melupai sesuatu. Namun, setelah diperiksa satu persatu, tiada apa yang aku tinggalkan. Erm, mungkin perasaan je yang tak kena. Kadang-kadang aku mengubah kedudukan beg laptop daripada bahu kanan ke bahu kiri, berat. Hampir setiap insan aku teliti dengan sebaik mungkin kerana aku suka melihat gelagat orang.


Di tepi kanan aku, ada lelaki yang sibuk dengan handphone sony ericsonnya, rambut tercacak, muka boleh tahan, pakaian kemas....di sebelah kiri pula, ada sekumpulan lelaki yang sedang asyik menantikan sesuatu, mereka nampak sopan walaupun pakaian brutal. Rupanya, mereka dalam perjalanan untuk pergi ke rumah kawan mereka di Kuantan dan mereka semestinya orang luar Pahang...


Di suatu sudut tangga kanan pandanganku, terlihat beberapa anak dara yang beg pakaian mereka tersusun di sisi setiap daripada mereka. Alamak, baju salah seorang daripada mereka tu sama la dengan baju aku...ish, segannya.....mungkin ada insan yang menyedari hakikat ini tapi buat macam tak nampak..


Tapi, aku lupa untuk melihat insan yang direct depan mata....ada tiga hamba Allah yang menanti dengan penuh kesabaran. Wajah yang penuh penantian dan harapan itu sebenarnya telah di mamah masa, namun tekad mereka terus membara. Macam-macam gelagat yang mereka pamerkan dek penantian yang belum tahu penghujungnya. Dari satu tempat ke satu tempat, dari seorang kepada orang lain mereka bertanya, semuanya memberi jawapan hampa...sungguh mereka begitu sabar.


Daripada mereka bertiga itu, aku paling tertarik dengan seorang insan yang sayup wajahnya, berkopiah putih, berkemeja biru gelap, seluar hitam dan berkasut hitam berkilat. Kesabaran dan ketenangan jelas terpampar pada wajah tua itu. Mungkin bagi insan yang seusia dengannya akan melakukan aktiviti ringan bersama keluarga tetapi tidak untuk insan ini. Aku tersentuh melihat wajahnya. Dua sahabat dia yang lain sibuk menjerit sana sini mencari rezeki, tapi dia?? Hanya senyum, merenung jam tangannya dan kembali melihat manusia.


Dia adalah seorang pemandu teksi yang sedang menanti penumpang untuk dibawa ke mana sahaja selagi kudrat membenarkan. Setiap jawapan yang diterima, hampa, kerana ramai manusia di situ sebenarnya sedang menanti bas yang sama aku nantikan. Tapi, hati aku terusik kerana dia membalas dengan ucapan terima kasih kepada setiap jawapan sedih yang diterima. Subhanallah, tabahnya dia. Mungkin pak cik ni sudah biasa dengan jawapan yang diterima itu sebelum ini, tapi, sungguh andai aku di tempat pak cik, belum tentu mampu bersabar sepenuhnya.


Apa yang membuatkan aku paling sedih adalah aku terbayang pak cik tu adalah ayahku sendiri. Menebalkan muka bertanya pada hampir setiap insan yang lalu hanya semata untuk mencari rezeki untuk keluarga. ” Dik, nak naik teksi??” itulah soalan rutin yang akan ditanya. Aku tak dapat bayangkan bagaimana hati dan perasaan aku jika dilahirkan sebagai anak pemandu teksi, mampukah aku memiliki apa yang ada hari ini?? Abah, ina tak kuat untuk melihat abah susah, apatah lagi melihat abah berpeluh mencari rezeki.


Tiba-tiba aku terbayang bagaimana pekerjaan ayahku. Segalanya semasa aku mengikut abah pergi ke tempat kerja. Air mata tak dapat di tahan. Itulah kali pertama aku melihat ayahku bekerja sejak aku dah bergelar anak dara abah. Aku melihat bagaimana abah panjat kayu balak di atas lori untuk mengukur ketumpatan kayu. Abah panjat tanpa ada apa-apa alat bantuan lain, hanya menggunakan kaki dan tangannya semata. Kayu balak yang aku boleh sifatkan setinggi dua tingkat bagunan itu, abah panjat sendirian. Patutla selama ni kalau abah balik kerja, pakaiannya selalu comot dan banyak yang dah lusuh. Baru aku faham.


Berpayungkan terik matahari, berbumbungkan langit ciptaan Allah, abah tak berhenti dari membuat kerjanya. Aku hanya mampu melihat dari jauh. Sedihnya, aku tak mampu menolong abah. Abah, ina sedih sangat tengok abah macam tu, tapi tu la cara abah cari duit membesarkan ina dengan ayen. Kadang-kadang, kita sebagai anak perlu pergi melihat sendiri bagaimana keadaan tempat kerja dan bagaimana ayah kita bekerja, demi memahami nilai perit jerih mereka. Dulu, abah adalah seorang nelayan, setelah kawin dengan mama, rezeki abah dapat kerja sekarang. Tapi, masa lapang abah, dia selalu je turun laut, dapat la kami sekeluarga makan makanan laut yang fresh.


Aku memang berasal dari keluarga yang susah, lepas mama sambung belajar, baru la nasib kami sekeluarga berubah sedikit demi sedikit. Tapi, ni semua ujian Allah. Aku bersyukur sangat dilahirkan dalam keluarga ni. Tapi, pak cik tu??? Sebelum ni dia kerja apa?? Kenapa dia bawa teksi?? Anak dia tak sara sepenuhnya ke?? Atau pak cik tu memang jenis yang tak boleh duduk diam?? Berbagai persoalan timbul di benakku. Jam tangan menunjukkan 2.40 petang, bas yang aku nantikan belum kunjung tiba. Sepatutnya aku menaiki bas pulang ke Kajang pada jam 2.30 petang, mungkin ’macet ’ di tengah jalan kot.


Pak cik tu beralih arah kerana bas Transnasional baru je sampai, jadi dia mencuba nasib mencari penumpang. Tapi, hampa. Tiada penumpang yang memerlukan khidmatnya. Ya Allah, pak cik ni umpama ayahku, pak cik ni saudara seIslamku, pak cik ni punyai hidupnya tersendiri, Kau kurniakanlah terus kesabaran dalam dirinya, kurniakanlah rezeki yang halal buat diri dan keluargannya....aku mohon Ya Allah.


Setelah penat menanti, akhirnya bas yang dinanti kunjung tiba. Aku duduk di tingkat bawah. Tak best sangat sebab ada insan yang smoking dalam tu. Bau rokok kuat. Saat bas tu meninggalkan terminal bas Kuantan, aku hanya ternampak sekilas pandang kelibat pak cik tu. Ingatan pada abah kembali berputar di fikiran. Kenapa aku anak yang jahat? Selalu meminta-minta dari abah dan mama, tapi tak pernah menghargai. Abah cakap, dia seronok bila tengok anak dia sihat, gembira. Tapi, hakikatnya, hati dia yang penat dan sakit, tak siapa pernah peduli. Sejak aku berada di alam sekolah menengah, banyak yang aku belajar menghargai orang tua aku. Semakin bertambah kasih dan sayang aku.


Sedar atau tak, nanti saat aku bergelar ibu, aku akan melalui benda yang sama malah mungkin lebih berat dari itu sebab ” Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”Al-Baqarah: 286. sahabat, dalam erti hidup, kesabaran dan kemaafan adalah adunan yang cukup sebati, nak tak nak, itu adalah hidup. Allah sudah aturkan semuanya. Tepuk dada tanya iman.....

2 comments:

  1. kadang2 terlupa untuk mengintai pengorbanan insan yang bergelar ayah ini TT

    ReplyDelete

Jom berkongsi