Wednesday, December 29, 2010

:: Cinta Dalam Diammu ::

Biarkan cinta itu terus diam
Bila belum sedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai ia dalam diam ...
kerana diammu adalah salah satu bukti cintamu padanya ...
kau ingin memuliakan dia, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang,
kau tak mau merusak kesucian dan penjagaan hatinya..

kerana diammu memuliakan kesucian diri dan hatimu..
menghindarkan dirimu dari hal-hal yang akan merusak izzah dan iffahmu ..

kerana diammu bukti kesetiaanmu padanya ..
kerana mungkin saja orang yang kau cinta adalah juga orang yang telah ALLAH swt. pilihkan untukmu ...

ingatkah kalian tentang kisah Fatimah dan ALi ?
yang keduanya saling memendam apa yang mereka rasakan ...
tapi pada akhirnya mereka dipertemukan dalam ikatan suci nan indah

kerana dalam diammu tersimpan kekuatan ... kekuatan harapan ...
hingga mungkin saja Allah akan membuat harapan itu menjadi nyata hingga cintamu yang diam itu dapat berbicara dalam kehidupan nyata ...
bukankah Allah tak akan pernah memutuskan harapan hamba yang berharap padanya ?

dan jika memang 'cinta dalam diammu' itu tak memiliki kesempatan untuk
berbicara di dunia nyata,
biarkan ia tetap diam ...

jika dia memang bukan milikmu, pasti Allah, melalui waktu akan menghapus 'cinta dalam diammu' itu dengan memberi rasa yang lebih indah dan orang yang tepat ...

biarkan 'cinta dalam diammu' itu menjadi memori tersendiri dan sudut hatimu menjadi rahsia antara kau dengan Sang Pemilik hatimu ...

sumber : internet

:: Rindu Suara Itu ::

Assalamualaikum pemanis bicara, sudah menjadi adat biasa, setiap tutur kata, bermula dengan salam dan sapa.....itu tanda kita semua bersaudara.

Takde apa yang jadi point untuk entry ni, sekadar meluah rasa mungkin. Kinah diulit rindu pada suara sahabat2 seperjuangan dulu yang tak pernah jemu bagi kata2 semangat saat salah seorang dari kami hampir 'syahid' di medan ujian ini....

Kini, tiada lagi kedengaran suara itu. Bukan disalahkan sahabat2 yang ada, cuma rasa sepi dari roh semangat itu. Benarlah, ini adalah sebenar-benar medan dakwah, kerana kita betul2 dicampakkan dalam masyarakat di mana kita keseorangan hanya bertemankan DIA.

Mudah untuk menulis, tapi sukar untuk mengikis rasa pesimis yang hadir...

What ever it is, keep remind me who I am actually...a khalifah and a daie...

Salam peringatan bersama dari kinah.


Saturday, December 25, 2010

:: Warkah Cinta Buat Bonda ::

Bonda,
Sejakku terbentuk hingga hari ini dengan izinNya
Segalannya dengan penuh RAHIM
kerana di situ cinta kita bermula...

Bonda,
Tangisku yang pertama buat kau tersenyum,
Malah kau sendiri mengalir sama,
Tanda syukur anakandamu menjengah ke dunia,
Bila dihitung ditambah ditolak,
Kau mengetahui, itu bukan air mata terakhir
kerana
Anakandamu ini selalu buatmu menangis lagi...
Andai air mata yang gugur itu
Dek kerana nakalnya aku,
Dek kerana hibanya dikau lantaran egoisku,
Ampunkanlah diri ini
Sungguh aku merindui bau syurga...
Andai air mata yang gugur itu
Dek kerana bangganya dikau terhadapku
Dek kerana bersyukurnya dikau memiliki daku
Aku mohon ya Allah
Agar ia terus dan terus berterusan
Kerana aku perlukan redha ibuku ini...

Biar kaca yang aku alas,
Permata yang kau balas....
Biar batu yang aku baling,
Tidak pernah kau tidak memaling...
Biar pisau yang ku hunus,
Tak pernah kau biarkan anakmu ini terjerumus...
Biar bisa yang aku beri,
Kasih sayang infiniti sebagai ganti...
Biar duka yang aku hadiahkan,
Pelukan cinta yang kau kirimkan...
Betapa mulianyamu bondaku...

Anakanda merinduimu segenap jiwaku,
Anakanda menyayangimu seluruh ragaku,
Anakanda menyintaimu sungguh demi Tuhanku.

Terima kasih kerana tak pernah meminta bayaran
Setiap air matamu yang gugur menyembah bumi
Terima kasih kerana tak pernah meminta bayaran
Lenamu yang terjaga dek kerana diriku
Terima kasih kerana tak pernah minta bayaran
Masa berhabis dalam menjagaku
Terima kasih kerana tak pernah minta bayaran
Untuk segala cinta dan kasih sayangmu
Untuk segala kesabaran dalam mendidikku
Untuk segala yang bonda curahkan
dengan penuh kasih sayangmu itu....
Sumpah,
Sampai mati anakanda tak mampu membayar yang satu itu...



*******************************


Salam alaik shbt2....bagaimana keadaan shbt2 tatkala ini, moga iman kita semua sihat hendaknya dan tidak sakit biar seketika cuma. Doakan keselamatan dan kesejahteraan buat semua umat Islam di dunia ini....

Tak tahu kenapa tiba2 kinah syahdu sejak dua menjak ni....tapi bila difikir balik, kinah terasa takut. Sebab hari demi hari kinah dikhabarkan tentang pemergian insan tersayang dlm keluarga oleh insan2 sekeliling.

Lama rasanya tangan ini tak menulis surat buat bonda, ayahanda dan kekandaku di rumah. Dulu masa sekolah, selalu letak surat dalam almari la dalam laci meja la konon2 nk buat surprise plus malu dan ego, dan sekarang??? bertahun perbuatan tu tak lagi menjadi rutin kinah.

Tersentap bila ingat kisah junior kinah masa di sekolah menengah dulu. Betapa terharu dan syahdunya junior kinah merangkap rumet mendapat sepucuk surat dari bondanya....biar surat itu ringkas, namun padat dengan kasih sayang dan cinta seorang ibu. Pesanan atau amanat untuk mengingatkan anaknya yang jauh mengutip ilmu Allah...terasa sebak bila mengingatkan kembali situasi itu.

Tertanya pada diri, ego apakah yang ada dalam diri sehingga sukar untuk melafaz kalimat cinta pada bonda dan ayahanda setiap hari....mungkin mudah melafaz kata di bibir, tapi apa erti andai keikhlasan dan pengharapan keredhaan tidak disulam sama....

Mahal sangatkah harga sebuah ego itu untuk diketepikan dalam meluah rasa membuah bicara cinta ini buat insan yang tak ternilai nilainya....apakah saat sakaratul maut menjemput tiba, baru bibir mudah mengungkap kata??

Kemudian menyesal tiba, menyalah keadaan semasa....

Ya Allah, jangan Kau jadikan kami anak2 yang tidak tahu mengenang budi orang tua kami yang terlalu banyak jasanya kepada kami. Jangan Kau jadikan kami anak2 yang lupa mendoakan kesejahteraan orang tua kami, jangan Kau jadikan kami anak2 yang tak tahu diuntung, jangan Kau jadikan kami anak2 yang lupa pada orang tua kami saat kami berjaya nanti dengan izinMu. Jangan Kau jadikan kami anak yang lupa diri.....ya Allah...

Jom tulis surat untuk keluarga kita....sekali sekala, sweet juga post surat dari kampus ke rumah. Semoga kita semua menjadi anak yang soleh dan solehah...amin ya rabbal 'alamin.

Salam kekhilafan dari meja penulis...

Friday, December 10, 2010

:: Kotak Cinta ::

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah, saat ini 'barang-barang' sewaan kita masih lagi dapat 'disewa' tanpa ada kenaikan harga hatta tidak dikenakan sebarang charge sekalipun.

Teringat ada sebuah sesi motivasi di radio IKIM pada satu malam, motivator tu cakap, andai Allah itu bukan Maha Pemurah, dah lama DIA minta kita bayar balik setiap 'barang' yang kita pinjam sekarang ni. Kita letak contoh murah je, tak mahal pun...katakan setiap satu saraf tu berharga 1 sen je, cuba fikirkan dalam badan kita ni ada berapa banyak saraf?? Dari sekecil-kecil saraf hingga ke saraf tunjang...mampu ke kita untuk bayar balik 'harga' sewaan setiap barang tu untuk setiap hari???

Tapi, manusia jarang melihat itu sebagai bukti jelas bahawa Allah itu Maha Pemurah...

Bila sebut tentang 'motivasi' pun membuatkan kinah teringat tentang sesuatu. Kerap kali kita dengar, setiap yang kita tuturkan itu akan diuji semula pada diri kita. Hari ini kita nasihatkan mad'u kita itu ini, esok lusa tak perlu terkejut peristiwa yang sama diuji ke atas kita...

Kerana, telinga yang paling dekat dengan bibir si pemberi kata-kata itu adalah TELINGA KITA SENDIRI...maka, andai suatu hari nanti sahabat-sahabat melihat 'sakinah' ini tiada lagi, kinah mohon tuk tarik kembali diri ini ke pangkal jalan...

Bila sebut juga tentang 'sewa' ni, kinah teringat dialog kinah dengan mama. Abang pernah cakap nak pinjam duit mama untuk sedikit keperluan dia. Dan mama membalas....

"Awak jangan cakap nak pinjam duit dengan mama, ayen. Kalau betul awak nak pinjam, awak takkan mampu bayar balik semua yang awak pinjam." Ntah mengapa dialog itu dilontarkan dengan nada sebak.

Tapi, benar, kita sebagai anak takkan mampu membayar balik segala 'duit' yang pernah dipinjam oleh kita daripada ibu bapa dalam usaha membesarkan kita...Allahu akhbar...



Kembali kepada tajuk....KOTAK CINTA

Isu yang mungkin sahabat dah tahu berkenaan tentang ni, maka sudi menambah apa yang patut dan tegur mana yang silap.

Baru-baru ini kita semua sama-sama meraikan Hari Raya Aidiladha...atau nama glamour hari tersebut adalah Hari Raya Haji. Kisah kemuncaknya sudah tentulah saat dan ketika musim haji tersebut. Dan kisah itulah yang telah menarik perhatian kinah.

Kisah sebuah kotak hitam yang menjadi pusat rujukan jutaan manusia beragama Islam di dunia ini.

Bukan kisah pembinaannya....sebab kinah tak expert dalam hal tu.

Eh jap, dah alang-alang sebut tentang pembinaannya, sape tahu kaabah dah berapa kali di bina sejak pertama kali ia di bina hingga hari ini?? Kalau tahu tunjuk 'peace'.....

Ni teka-teki Islamik ni...kinah dapat tahu masa dengar IKIM masa 1st year dulu...

Cepat teka.....kanak-kanak sekalian alam, berapa kalikah??

Pandai la adik-adik kak kinah ni....12 kali kaabah pernah di bina. Bagus2, mantap sejarah Islam dalam diri adik-adik ye...

Ok, serius kembali!!

Kotak Cinta.

Tawaf. Yup itu yang menarik bagi kinah. Fakta ini kinah dapat tahu masa zaman muda-muda lagi, zaman nakal2 di sekolah dulu cuma fakta versi ingat2 lupa. Namun, Allah permudahkan segalanya, Halaqah di TV9 masa Hari Raya Aidiladha baru2 ni ada mengupas kembali fadhilat tawaf dari segi sains.....



## Makkah adalah pusat bumi. ##

"Semacam ada magnet, Tanah Suci Makkah sentiasa menjadi tumpuan semua umat islam sejak dahulu lagi, lebih kurang 2000 tahun yang lalu. Kota suci ini merupakan pusat muka bumi berdasarkan kajian PAKAR GEOLOGI yang menyatakan bahawa sejak kira-kira 4.5 billion tahun terbentuknya muka bumi ini, telah berlaku beberapa pergerakan plat di sekeliling plat tanah Arab. "

Walau bagaimanapun, sebagaimana yang kita maklum, Mekah adalah kiblat kedua umat Islam selepas Masjid Al-Aqsa. Jadi apakah pusat bumi berubah atau bagaimana??

Menurut hasil pembacaan kinah di sumber-sumber yang insyaAllah boleh dipercayai, menurut seorang professor, suatu ketika dulu pernah terjadinya kejadian gempa bumi di tanah Arab yang telah menggerakkan pusat bumi tersebut dari Al-Aqsa membawa kepada Mekah Al-Mukarramah.

Maka, fakta pertama ini perlu menjadi basic yang utuh dalam 'kebanggaan' kita sebagai umat Islam dalam memiliki kiblat 'pusat bumi' ini.



## Mecca Time ##

"Persidangan Mecca: The Center of the Earth, Theory and Practice yang dicetuskan oleh Sheikh Yusuf al-Qardhawi bersama beberapa orang saintis Muslim dan juga ulama telah diadakan pada April 2008, hasil daripada persidangan itu, mereka menghasilkan resolusi yang meminta agar Mecca Timediwujudkan untuk menggantikan GMT iaitu Greenwich Meridian.

'Persidangan yang disebut sebentar tadi adalah bertujuan untuk mengupas isi Keajaiban al-Quran yang selama ini telah diwarnakelabukan/dikaburi oleh hujah saintifik berasaskan logik akal orang Barat. Contoh fakta saintifik yang ditonjolkan dalam Al-Quran adalah mengenai kesahihan bumi Makkah adalah pusat atau titik tengah muka bumi."

Jika sahabat-sahabat perasan dalam berita2 haji yang disiarkan di televisyen baru2 ini, turut memaparkan kisah pembinaan menara jam yang agak besar dan tinggi berhampiran dengan masjidil haram. Itu satu bukti kerja2 pembinaannya berjalan dengan rancak.

Walau bagaimanapun, kinah tertarik dengan pendapat seorang sahabat kinah berkenaan kisah pembinaan jam ini.

Lebih kurang macam nilah ayat dia dalam perbincangan kami dalam kereta, semasa dalam perjalanan pulang ke Pahang.

"Kau taw tak kat Mekah ada buat menara jam besar, sebab Mekah dipercayai jadi pusat bumi, kira kat situlah masa paling tepat," buka sahabat kinah.

"Ada gak kinah buka berita dengar2 pasal ni, tapi kinah tak taw lebih2 la,"

"Bukan apa, sok kalau orang gi Mekah bukan lagi tertarik sebab nak menunaikan ibadah haji ke umrah ke apa, tapi sebab lebih tertarik dengan jam tu. Kan ia di bina betul2 dengan masjid haram, tak ke nanti macam lain je jadi,"

Kinah tersentap dengan kata2 itu, seperti ada benarnya juga. Namun, sama2 doakan agar masyarakat Islam yang ke sana tidak akan berubah hati dari niat asal mereka untuk beribadah dalam meraih kekusyukkan yang maksimum dan optimum.



## Tawaf dan medan magnet. ##

Ni part paling kinah suka sebab ada unsur2 fizik....berkenaan pusingan tawaf yang counter-clockwise (ccw) ni. Bagaimana ia memberi kesan kepada masyarakat Islam....

"Teori Lorentz menyatakan seandainya ada sebatang konduktor yang dikelilingi elektrik pada arah berlawanan jam, maka akan terhasil medan gelombang elektromagnet di konduktor itu yang mengarah ke atas. Dalam dunia fizik, kita gelar dia sebagai Fleming's Right Hand Rule. Kajian ini tepat dengan perbuatan tawaf yang berlawanan jam, Kaabah pula berada di kiri manusia, dengan itu, gelombang elektromagnet akan terhasil sekiranya dilakukan apa saja pergerakan."

"Para saintis mengenal pasti, andainya tiada kuasa putaran yang berlaku di Kaabah yang menstabilkan tenaga, mereka meramalkan yang dunia ini akan berakhir/kiamat."

"Bagi ibadah TAWAF juga dikatakan boleh melakukan sedemikian berdasarkan bentuk pergerakan keliling manusia yang dilakukan pada arah melawan jam. Tawaf dipercayai berperanan menyambut tenaga putaran bumi mengelilingi matahari, menstabilkan & menyebar ratakan tenaga ke seluruh bumi. Dan apa yang menarik perhatian saya, tenaga itu hampir sama dengan cas-cas yang terhasil semasa umat islam menunaikan SOLAT BERJEMAAH. Cas-cas ini jugalah yang banyak membantu kita, manusia untuk meneutralkan cas positif yang berlebihan dalam badan. Secara tidak langsung, ia membantu manusia untuk menyihatkan badan."

Sebelum pergi lebih narrow dalam kelebihan dalam kesihatan badan, kinah tertarik dengan satu penemuan daripada sumber kinah ni....

" Neil Armstrong ketika berada di luar angkasa,beliau mengesan satu gelombang yang hebat telah dipancarkan dari bumi.Setelah diselidikinya, gelombang itu berpunca dari Kaabah. Beliau mencari dimana hujungnya gelombang yang dipancarkan itu berakhir,tetapi langsung tidak di temuinya. Gelombang itu tidak berpenghujung atau infiniti katanya. Bagi kita umat Islam percaya bahawa Baitul Haram(Makkah) itu bersambung terus ke Baitul Makmur (Langit ke tujuh). Andai kata seketul batu jatuh dari Baitul Makmur, ia pasti akan mengenai Kaabah di bumi kita. Maka gelombang yang dikesan oleh Neil Armstrong itu dipercayai terus-menerus hinggalah ke Baitul Makmur dimana tempat tawafnya para malaikat."



## Kesan gelombang magnet dan graviti.##

:: Hikmah 1 ::

"Mengikut saintis,pengaruh graviti banyak memainkan peranan untuk merangsangkan kelenjar pineal yang terletak di otak tengah untuk mengawal kekuatan imun badan. Imun badan kita menjadi kuat secara semulajadi tanpa sebarang vaksin.Apabila graviti makin kuat,maka banyak ion-ion negatif berkumpul disitu. Memang terbukti bahawa mereka yang sebelum itu mengalami sakit-sakit badan,bila tiba di tanah suci kesakitan yang dialami hilang dengan serta-merta. Tekanan graviti yang tertumpu disitu memberi kesan pada peredaran darah dan pergerakan biologi kehidupan. Jadi keupayaan darah untuk membawa oksigen keseluruh badan adalah amat baik dan lancar sekali jika dibandingkan keadaan manusia di tempat-tempat lain di sekitar dunia."



:: Hikmah 2 ::

"Menurut pakar sains, tanah-tanah yang mempunyai graviti yang tinggi mengandungi kandungan garam dan air yang banyak.Terbukti sememangnya Makkah itu tidak kering dengan air zam-zamnya.Dipercayai juga dengan kepekatan graviti sungai-sungai dibawah tanah akan terhasil dengan banyaknya.Tahukah anda bertapa pentingnya air kepada kita? Dan betapa pentingnya bekalan air yang berterusan andai kita di alam peperangan?Disinilah atas rahmat dari Allah S.W.T, Dia telah menganugerahkan air zam-zam buat kita semua untuk digunakan baik ketika keadaan tenang mahupun genting."



:: Hikmah 3 ::

"Tawaf dipercayai berperanan menyambut tenaga putaran bumi mengelilingi matahari, menstabilkan & menyebar ratakan tenaga ke seluruh bumi. Dan apa yang menarik perhatian saya, tenaga itu hampir sama dengan cas-cas yang terhasil semasa umat islam menunaikan SOLAT BERJEMAAH. Cas-cas ini jugalah yang banyak membantu kita, manusia untuk meneutralkan cas positif yang berlebihan dalam badan. Secara tidak langsung, ia membantu manusia untuk menyihatkan badan"



:: Hikmah 4 ::

"Melalui pendekatan analisis gelombang otak yang dikenal sebagai Brainwave Management, gelombang otak manusia dapat diatur sesuai dengan aktivitinya. Bagi tujuan tersebut, alat Electro Ensefalo Gram (EEG) digunakan untuk merakam gelombang otak. Setiap manusia memancarkan gelombang yang boleh diukur, iaitu gelombang beta dengan frekuensi 14-100 Hertz (Hz), gelombang alfa, 8-13.9 Hz, gelombang theta, 4-7.9 Hz, dan gelombang delta, 0.1-3.9 Hz.

Sekiranya otak dalam frekuensi 8-13.9 Hz, otak akan menghasilkan hormon endorfin dan serotonin yang menjadikan manusia khusyuk dan tenang. Namun sekirang gelombang otak manusia berada di atas 14 Hz, hormon kortisol akan terhasil sehingga menyebabkan perasaan stres, cemas dan risau. Pada keadaa inilah yang menyukarkan untuk memperolehi khusyuk dalam ibadah.

Justeru, seseorang itu perlu berusaha untuk menurunkan frekuensi gelombang otak dengan beberapa cara. Antaranya dengan meregangkan otot tubuh, tangan dan kaki, aromaterapi, memandang sesuatu yang indah dan menggunakan teknologi alphamatic brainwave.

Namun cara yang terbaik adalah dengan mengawal sumber gelombang otak, iaitu hati. Gelombang hati inilah yang perlu disesuaikan dengan amalan talbiah sepanjang dalam ibadah haji. Hati manusia perlu menghayati isi kandungan talbiah yang meliputi konsep tauhid, syukur, sabar dan tawakkal."



Indahnya Islam.

Allahu akhbar...Allahu akhbar...Allahu akhbar....

"Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan??"
[Ar-Rahman: 13 ]

Kinah bukan saintis ke apa, tak hebat langsung, sebab memang hakikat kita tak memiliki apa2kan. Itu gunanya akal yang Allah bagi utk manusia bernama HAMBA ini terus dan terus berfikir dalam mencari kebesaran Allah dalam memantapkan imannya.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) : " Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka,"
[Ali-Imran : 190-191]

Maha Suci Allah yang memiliki segala yang ada di bumi dan langit, dari Engkau kami datang kepada Engkau kami kembali...jangan Kau bolak balikkan hati-hati ini dari terus alpa mengingatiMu, malah Kau teguhkan pegangan kami, mantapkan aqidah kami, satukan kami di jalan redhaMu....amin ya rabbal 'alamin.

Salam muhasabah Kotak Cinta dari meja penulis.


sumber :

:: Imamku ::

“jika kamu berpegang teguh kepada keduanya niscaya kamu tidak akan tersesat”


Tak tahu nak hurai apa dalam entry ni, tapi kinah miss sgt suara2 gemersik yang lancar mengalunkan ayat suci Allah ni, sebab kinah masih bertatih dalam melancarkan bacaan tersebut. Terlalu rindukan suara itu.

Di mana imam kinah?? Hanya Allah yang tahu....

Terasa tak layak untuk bermimpi mempunyai anak seperti empunya suara ini kerana daku tahu tahap kejahilanku berada pada aras yang mana.....namun ya Rabb, sudah tentu aku mengimpikan suara ini yang mendoakan aku kelak.

Al-Fath, sebuah lagi surah kegemaran kinah selain Ar-Rahman, Al-Waqiah, Al-Mulk dan banyak lagi. Setiap surah ada penceritaan tersendiri yang terlalu bermakna dalam kisah hidup kinah. Lama rasanya hati ini tak dibaja dengan ayat2 ini....

Tolong ingatkan kinah saat kinah alpa....


Allah....amik masa kejap, sama-sama tarik nafas, jom rilekskan diri dengan alunan ini, khas untuk diri sendiri dan semua...

:: Nice : Sesekali Diuji ::


Apa jua bala bencana singgah menerpa
Menguji jauh mananya sabar kita
Mungkin selama ini kita terlupa

Kita terlalu leka dengan nikmat kurniaanNya
Maka diberi sedikit ujian
Menguji tahap keimanan dijiwa

Bila kesusahan
Terasa hidup terlalu payah
Berbagai persoalan menerjah
Baru minta petunjuk hidayah

Usah berputus asa
Kerana ada rahmat disebaliknya
Yang tidak kita ketahui
Dalam hidup ini
Teruslah berdoa

Pada Allah
Pengasih…Pemurah dan Penyayang

Kita terlalu leka dengan nikmat…kurniaanNya
Maka diberi sedikit ujian
Menguji tahap keimanan dijiwa

Artis : NICE
Lagu : Manis Helma (Hijjaz Records)
Lirik : Lukhman S (BMG Music Publishing)
Penerbit : Nazz Music Entertainment (M) Sdn Bhd

(1st time dengar lagu ni masa ada konsert nasyid kat UKM sempena apa kinah dh lupa, tapi masa tu, lirik lagu ni dah berjaya memikat kinah. Ntah kenapa, saat ni lirik lagu ni terlalu kerap berkumandang di halwa telinga kinah. Makin lama makin tersentap dengan lirik dia...apakah diriku kini sedang 'diuji'....tiada air mata mampu dititiskan, tapi segalany berubah saat mengadu padaNya...jom sama2 muhasabah diri)

Wednesday, December 8, 2010

::Memori Itu : Andai Itu Takdirnya ::

Jam menunjukkan tepat 7.50 pagi. Kesesakan jalan yang terbentang di atas hamparan jalan raya memang tidak mampu disangkal lagi tiap kali tibanya waktu-waktu begini. Masyarakat bandar berpusu-pusu untuk ke tempat kerja mereka, maka tidak hairanlah seribu satu macam perangai yang terpamer oleh sikap pemandu-pemandu ini.

Seperti biasa juga, Fathi yang bertugas di salah sebuah stesen radio tempatan, Ceria.fm menjalankan tugasnya. Menghiasi warna halwa telinga pendengar di pagi hari dengan warna-warna ceria mahupun bercorak muhasabah diri. Segalanya disesuaikan dengan 'mood' para pendengar. Ada kala lagu-lagu berentap pop rock yang mempunyai mesej yang tersendiri turut berada dalam 'play list'nya.

"Buat anda yang baru sahaja mendengarkan Ceria.fm, saya mengucapkan assalamualaikum dan selamat pagi. Terima kasih kerana memilih stesen radio ini sebagai juadah telinga anda di pagi hari. Bagi abang-abang yang sedang dalam perjalanan untuk ke tempat kerja, berhati-hatilah ketika memandu," pesan Fathi buat pendengar. Itu sudah menjadi lumrahnya sebagai seorang penyampai radio, selain memutarkan lagu-lagu permintaan pendengar, dia turut bertanggungjawab untuk mengingatkan pendengar-pendengar berkenaan beberapa isu yang mungkin di pandang remeh oleh sesetengah pihak.

"Seperti biasa, setiap hari kita ada topik-topik baru untuk dikongsikan bersama, untuk sama-sama muhasabah diri, untuk mengingatkan diri dan mungkin tanpa sedar dapat memberi pengajaran kepada pihak lain. Pagi ini kita membincangkan topik 'Memori Itu'. Mungkin pendengar di luar sana mempunyai memori tersendiri yang ingin dikongsikan bersama untuk sama-sama kita semua ambil pengajaran malah tidak salah untuk berkongsi memori-memori yang indah-indah bersama insan tersayang,"

"Seperti biasa, anda semua boleh menghubungi saya di talian tetap kita mahupun boleh menghantarkan email kepada kami, insyaAllah saya akan bacakan email anda,"

Suara Fathi itu seakan ada tarikan magnet yang tersendiri buat Ahmad, malah dia lebih tertarik kepada topik yang dibuka pagi itu. Memori itu. Yup, memori itu. Ahmad terbawa sebentar melayari memori silam yang ntah berapa lama tidak tersingkap kembali dalam diari hidupnya.

Kisah sebuah pengharapan seorang anak buat ayahanda yang tercinta agar menemui jalan yang diredhai dalam keadaan yang terbaik. Namun, Allah jualah sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui, kita hambaNya hanya mampu berdoa dan berusaha, selebihnya berserah pada yang Maha Esa.

"Nampaknya kita ada pemanggil di talian, siapa di sana??" sapa Fathi.

"Assalamualaikum, ni Ahmad dari Damansara," pembuka bicara Ahmad di corong pagi itu.

"Wa'alaikumussalam.... Ahmad, ni tengah dalam perjalanan ke pejabat ke??" sapa Fathi sebagai mukhadimah perkenalan kepada pendengar.

"A'ah, dalam perjalanan ke pejabat sekarang ni tapi dah nak sampai dah,"

"Ok Ahmad, apa memori yang bermain dalam kepala Ahmad sekarang ni...kongsikan bersama,"

"Kadang-kadang rasa macam tak nak kongsi pun ada kisah ni, cuma harap ia dapat jadi pengajaran bersama. Kisah keluarga saya sendiri. Kisah ni dah makan masa berpuluh tahun dulu dah, lagi pun dah lama tak buka kisah ni dalam hidup, cuma tiba-tiba teringat semula lepas dengar tajuk yang Fathi buka pagi ni," Ahmad mula terasa sesak nafas, bukan kerana ada asma, namun untuk mengimbau kembali kisah itu benar-benar membuatkan dia sesak nafas.

Sebuah kisah yang bermula ntah bila masanya, cuma segalanya tersedar saat peristiwa itu menjadi 'barah' dalam keluarganya. Pagi itu, terasa air mata jantannya ingin gugur menyembah bumi, namun selagi kudrat yang ada, dia akan mempertahankannya.

Bagaikan mesin yang 'overload' dengan simpanan memori, begitulah kotak mindanya ligat memutarkan kembali kisah silam. Satu persatu kisah hidupnya itu mula mengambil tempat.

" Ya Allah, ampunkan dosa aku, bukan aku berniat untuk mengaibkan keluargaku, tidak sama sekali. Aku kongsikan kisah ini segalanya demi untuk kebaikan bersama. Aku mahukan masyarakat luar sana sama-sama mengambil pengajaran dari apa yang telah Engkau takdirkan untuk aku sekeluarga," Ahmad berinterlog dalam dirinya. Risau-risau perbuatannya itu akan membuka aib keluarganya.


******************

Ayah, itulah gelaran yang dia berikan kepada Encik Kamal Bin Adli. Apakah sebuah anugerah atau sebaliknya berbapakan 'ayah' buat Ahmad dan adik-adiknya?? Soalan itu kerap mencuri ruang masa yang ada dalam diri Ahmad lantaran cukup kesal akan tindakan ayahnya semasa hayat orang tua itu.

Sejarah hidup Ahmad dan adik-adiknya cukup pahit untuk dikenang. Tiada yang manis untuk buatnya tersenyum, tiada yang indah untuk buatnya tertawa. Malah, air mata bonda kerap menghiasi bingkai kehidupan mereka sehari-hari.

Ayah, kehadiran ayah di dunia benar-benar buat along, adik-adik dan ibu terseksa. Along tak faham apa salah along dan adik-adik, apatah lagi salah ibu. Ayah tiba-tiba berubah menjadi seorang yang sangat kasar, ganas, pemarah dan kaki pukul. Memang kejam along 'label' kehadiran ayah sebagai terseksa, tapi itu hakikat.

Bila ayah balik kerja, ntah mengapa sebab yang kecil pun jadi besar. Along masih ingat lagi, ada satu hari tu, ayah pukul ibu sampai berdarah. Ayah, ibu tak salah malam tu, along yang benarkan adik-adik mandi hujan sebab mereka dah lama tak mandi hujan. Along yang salah, tapi ayah tetap marah ibu. Sedangkan, masa ayah balik tu, ibu tengah hidangkan lauk makan malam kita, habis semua ayah campak. Kaca yang pecah tu ayah guna untuk pukul ibu, ibu jerit sakit tapi ayah sikit pun tak endah.

Ayah, biarpun kisah ni dah berpuluh tahun, tapi along simpan kemas dalam memori along. Along dah ada anak sekarang ni. Along faham perasaan penat lepas balik dari kerja dan berdepan dengan karenah anak-anak. Tapi, along tak pernah ajar anak-anak along dengan kekerasan.

Bertahun kami hidup dalam keadaan macam tu. Mulanya tiada siapa yang tahu, tapi lambat laun jiran tetangga mula mengetahui kisah kita sekeluarga.

Bila Pak Mat cakap dia nampak ayah dekat kedai nombor ekor, along tanya ayah betul ke. Masa tu along nak SPM. Ayah marah along cukup-cukup sampai ayah nak tetak along tapi adik. Adik selamatkan along. Tak tahu syaitan mana yang rasuk ayah masa tu, along tanya ayah baik-baik, tapi ayah terus ke dapur ambil parang.

Ayah, ayah ingat lagi tak masa tu, adik berlari peluk along. Adik menangis peluk along, adik cakap, dia sayang along, dia benci ayah. Ayah ingat lagi tak??

"Ayah jahat. Ayah jahat. Adik sayang along... Ayah jahat," itu sahaja kata-kata yang keluar dari mulut adik.

Biarpun adik baru 5 tahun, tapi adik tertalu dibebankan dengan keadaan keluarga kita yang 'bahagia' ni. Mungkin malam tu adik tak perlu rasa tertekan lagi, sebab tu adik pergi. Ayah tertetak adik, bukan along. Adik selamatkan along. Ayah tertetak leher adik sebab masa tu adik tengah peluk along kat sudut dinding rumah kita. Ayah ingat lagi tak malam tu??

Itu kejadian pertama yang paling berdarah dalam keluarga. Ibu tak mampu buat apa-apa sebab ibu pengsan. Darah banyak sangat keluar masa ayah pukul ibu.

Nasib baik malam tu angah kat asrama. Kalau tak, dia terpaksa melihat kejadian berdarah yang sudah tentu akan menghiasi tidur malamnya selama hayat dikandung badan. Bertuah adik, adik terpilih untuk kembali lebih awal. Mungkin sebab adik memang takde dosa kat dunia ni, maka dia tak perlu untuk tanggung semua ini.

Masa pengebumian adik, ayah dah lari daripada rumah masa tu. Ibu pula kat hospital. Along tak bagi tahu angah pun. Tak nak kacau dia study, tapi study along?? Along nak SPM...jiran-jiran alhamdulillah ramai yang tolong sebab mereka tahu hal sebenar, cuma mereka takut nak masuk campur. Tiada air mata langsung yang turun masa tu. Ntah dari mana datangnya kekuatan.

Ayah tahu, masa sembahyangkan jenazah untuk adik, ramai sangat jemaah yang sama-sama sembahyangkan. Masa tu along terharu sangat. Mungkin, pemergian adik dalam redha Allah masa tu. Allah jemput adik dengan cara yang sungguh memilukan, tapi Allah tunjukkan keberkatan pemergian adik dengan iringan doa dari ramai jemaah yang mendoakan kesejahteraan adik. Along rasa macam orang gila masa tu. Dengan ibu di hospital, tiada orang yang menemani di sisi, dengan angah di asrama yang langsung tidak di khabarkan tentang pemergian adik, along nak SPM...Ya Allah, dugaan apakah ini yang Kau atukan.

Along ingat, lepas peristiwa malam tu ayah akan berubah, tapi dugaan along meleset sama sekali. Lepas bertahun ayah hilangkan diri, ibu dah kembali sembuh dan along sudah berhenti belajar, ayah memunculkan diri semula.

Ayah tahu, biarpun kisah 'pemergian' adik malam tu merupakan kisah yang along takkan lupa sepanjang hayat along, tapi along tak pernah berhenti berdoa agar ayah diberikan taufik dan hidayah agar kembali ke pangkal jalan. Sebab, ayah tetap ayah along. Along terhutang darah dengan ayah. Sebab ayah, along ada di dunia ni.

Ayah tahu, kadang-kadang along bersyukur sangat dalam keadaan macam ni, sebab along percaya, Allah nak bagi pahala kat along untuk berbakti pada ibu dan adik-adik. Cuma, cara Allah nak bagi pahala kat along ni, silap langkah boleh jadikan along anak derhaka juga kalau along tak sabar. Ayah, terima kasih sebab jadikan along lebih tabah.

Sekembalinya ayah ke teratak kita semula, umpama bisa ular yang terus tersisa dalam tubuh. Sinar yang diharap menyinari perubahan, mendung yang ditiup melindungi akhirnya. Paling pedih, mendung itu terus hilang, sebab awan hitam berganti tempat. Ujian apakah lagi yang tersusun untuk along, angah dan ibu??

Sikap ayah makin teruk. Kali ini, jiran tetangga tidak lagi mengambil langkah berdiam diri. Mereka mula berani bersuara menentang ayah. Mungkin tak tahan dengan penderitaan yang terpamer pada ibu. Kesan lebam dan parut luka yang baru mula memudarkan diri, kini bertambah lagi.

Along masih ingat pesan ustaz masa di sekolah dulu.

"Biar sesiapa pun ibu bapa kita, mereka tetap ibu bapa kita sampai akhirat kelak. Biar seburuk mana mereka, biar sejahat mana mereka, disitulah bermula dunia seorang anak. Jangan pernah letih dan jemu berdoa untuk kebaikan mereka. Sebab janji kita saat dilahirkan di dunia ini adalah untuk menjadi khalifah di bumi. Maka, genggamlah janji itu seeratnya. Jangan biarkan janji itu terbakar dek kerana khilaf mereka. Mungkin ada khilaf mereka dalam mendidik anak-anak, tapi anak-anak yang diberi hidayah lebih dari ibu bapanya, tak salah untuk membimbing kembali ibu bapa kita. Kerana kita hidup berkongsi satu dunia yang dicipta oleh SATU Tuhan yang ESA." tersisip kemas pesan ustaz yang ringkas itu dalam benaknya.

Along selalu pesan kat ibu, jangan pernah jemu buat solat hajat agar ayah diberikan taufik dan hidayah, agar ayah kembali bertaubat, doakan segala kebaikan buat ayah, dikurniakan keselamatan dari api neraka jahanam dan paling penting, satukan keluarga kita di syurga nanti. Tapi, ibu pun manusia. Ada masa ibu terasa lemah sangat, ibu sentiasa menadah tangan dalam esak tangisnya tak kira tempat dan masa. Along sumber kekuatan ibu, along kena kuat.

Hari tu, ibu nak buat kenduri doa selamat untuk arwah adik. Buat secara kecil-kecilan, tapi alhamdulillah sangat sebab ramai sangat jiran-jiran datang tolong. Mungkin betul, pemergian adik dalam lindungan Allah, segalanya jadi mudah semasa menguruskan jenazah adik, malah hingga ke hari ini untuk mengadakan kenduri doa selamat adik.

Sedang sibuk jiran tetangga menyiapkan apa-apa yang patut untuk tahlil malam ini, along masuk bilik adik. Lama rasanya tak berkunjung ke ruang kecil itu yang penuh dengan tawa riang yang cukup menghiburkan hati. Along terjumpa sebuah lukisan.

Mungkin tidak cantik untuk dijadikan tatapan umum tapi terlalu syahdu along melihatnya. Ayah tahu, adik lukis apa. Ada seorang lelaki dan perempuan dewasa sedang berpegangan tangan dan di kiri kanan mereka ada tiga kanak-kanak, dua lelaki dan seorang perempuan. Kanak-kanak lelaki yang paling tinggi itu tertulis nama 'along', kanak-kanak perempuan yang bertudung comel itu pula tertulis 'angah' dan yang kecil sekali, 'adik'. Terlalu lusuh hati ini melihat lukisan itu yang terlukis dengan seribu satu pengharapan dan keikhlasan yang tiada tandingan.

Apa sebenarnya yang bermain dalam fikiran adik masa melukis lukisan ini agaknya, duga along. Adik, along rindu adik, adik doakan keluarga kita bahagia macam orang lain ye. Doakan along kuat jua untuk tolong keluarga kita.

Malam itu, alhamdulillah, seusai maghrib, majlis tahlil bermula. Ayah masih tidak menampakkan dirinya. Mungkin bagus juga ayah tidak pulang, jika tidak pasti kacau bilau jadinya di rumah itu.

Panjang umur ayah. Baru terdetik di hati along. Dari jauh terdengar suara ayah menyanyi lagu ntah apa iramanya. Cahaya lampu malam yang suram menerangi jalan raya yang menjadi laluan masyarakat yang lalu lalang termasuk ayah pada malam itu. Terlihat tubuh badan yang berjalan dari jalan raya itu menghala ke pintu rumah. Along sedar, jiran-jiran yang ada di dalam rumah sedar akan kepulangan ayah ke rumah malam itu. Namun, masing-masing membutakan mata dalam meneruskan majlis tahlil malam tu.

"Apa ramai-ramai ni kat rumah aku?? Apa yang korang bising-bising ni??" bentak ayah setibanya di muka pintu rumah.

"Kamal, jom masuk dulu. Kami tengah buat tahlil untuk anak bonsu kau. Jom masuk dulu," pelawa Pak Mat selaku jiran yang paling rapat dengan keluarga itu.

"Sapa engkau nak ajak aku ni. Kau jangan nak sindir aku,"

"Bila kau nak berubah ni Kamal?? kau tak kesian ke kat bini dan anak-anak kau. Tak cukup lagi ke kau dah bunuh adik?" Pak Mat mula hilang sabar bercakap dengan orang yang tak pakai otak ni.

"Kau sibuk ni kenapa. Aku yang kawin dengan bini aku, aku punya suka la." Ayah menjawab cakap Pak Mat dengan nada yang cukup sinis. Seperti memendam perasaan yang cukup benci pada leteran yang menyambutnya di muka pintu itu. Selari dengan itu, kaki ayah menghala ke dalam rumah. Matanya ligat mencari wajah ibu. Semua jiran terpaku melihat kelibat ayah di dalam rumah itu.

"Kau cerita pada jiran semua ye aku pukul kau, aku sepak terajang kau. Kau sengaja nak malukan aku kan. Kau suka la ada orang bela kau," herdik ayah sambil menolak kepala ibu.

Malam itu, biar kasar bagaimanapun tingkah ayah, tiada air mata yang mengalir di pipi ibu. Tiada kata-kata yang dibalas, cuma diam membisu. Sesekali tangan ibu menepis tangan ayah yang cuba memukulnya.

"Kau dah pandai melawan aku ye,"

"Kamal, sabar Kamal, bawa mengucap," Pak Mat cuba leraikan ayah. Manakala jiran yang lain mula meninggalkan perkarangan rumah, risau keadaan menjadi lagi teruk.

"Aku dah lama sabar dengan kau, kau tahu tak, aku cukup benci dengan kau. Aku tak pernah sayang kau dan anak-anak. Aku tak tahu macam mana aku boleh setuju kawin dengan kau," ayah mula meluahkan isi hatinya.

"Abang tak pernah sayang saya?? Baik, saya terima. Tapi, anak-anak?? Itu apa, nafsu abang?? Atau sebuah kebetulan??" kesabaran ibu tiada lagi bertapis.

"Perempuan jalang," kemarahan ayah semakin menguasai diri.

Terlalu pantas. Sekelip mata ayah berada depan ibu dan menolak ibu ke dinding sehingga papan yang reput itu berlubang sedikit. Kali ini ibu tiada lagi berdaya. Doktor pernah memberitahu bahawa organ dalaman ibu banyak yang telah rosak ekoran kekerapan menjadi mangsa kepada ayah, malah ibu berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk lumpuh malah lebih teruk dari itu.

"Hei orang tua!! Kurang ajar. Berani kau pukul ibu aku. Apa salah dia dengan kau ha?? Pergi mampus kau orang tua!! Aku tak pernah ada bapak macam kau"

Along hilang sabar. Dek kerana ayah mabuk malam itu, ayah tak mampu lagi membalas tumbukan along. Along melepaskan segala rasa yang dipendamnya selama ini.

"Mati kau!!"

Benarlah, malam itu merupakan malam terakhir 'penderitaan' mereka sekeluarga. Angah yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati setia peristiwa itu terpaku di suatu sudut rumah. Dia terlalu fobia untuk melihat sebuah pergaduhan. Apatah lagi berlaku di dalam rumah yang dia dibesarkan sejak lahir.

Ayah mati dalam keadaan mabuk. Sama ada dia mati kerana tumbukan along yang terlalu kuat atau sememangnya ajal menjemput tiba, itu bukan agendanya. Along berasa puas. Ibu takkan lagi rasa terseksa dipukul ayah dan adik tak perlu fobia lagi dengan apa yang terjadi.

Namun, jauh di sudut hati, along berasa kesal. Kerana andai dia terus menahan kesabarannya malam itu, mungkin ayahnya masih ada peluang untuk menemui sinar keinsafan untuk kembali ke pangkal jalan dan memungkinkan mereka sekeluarga hidup bahagia seumpama keluarga yang lain.

"Ampunkan aku Ya Allah" itulah doa keramat yang sering diulang along dalam titipan doa dalam solatnya. Terasa berdosa yang amat kerana menjadi anak yang derhaka malam itu.


****************


"Saya tak tahu kenapa saya cerita ni pada semua, tapi mungkin para pendengar dapat sama-sama menilai mana yang baik dan sebaliknya. Andai ada pendengar yang mengenali diri saya dan mengetahui kisah ini, sama-samalah ambil pengajaran. Seperti yang saya cakap di awal tadi, bukan untuk mengaibkan keluarga, tapi untuk muhasabah diri bersama. Anak-anak bukan untuk diternak, tapi dididik. Ibu bapa pula, hiaskan corak didikan anak-anak dengan bingkai agama yang sebenar. Jangan dikisah andai diri kita sendri yang bergelar ibu bapa ini tidak mempunyai nilai agama yang tinggi, gunakan rasa kesedaran itu untuk menyelami dasar ilmu Allah dengan menggunakan tangki kesabaran, buangkanlah pukat keegoan yang ada dalam diri." Ahmad terkedu. Tak sedar ada air mutiara yang mengiringi tiap tutup bicaranya pagi itu biarpun tidak lebat seperti cuaca di luar.

"Subhanallah, sebuah perkongsian yang tiada siapa duga. Sebuah kisah yang cukup dengan ramuan pengajaran untuk sama-sama kita nilaikan. Tiada apa yang ingin saya huraikan, terpulanglah pada para pendengar menafsirkannya. Terima kasih saudara atas perkongsian itu," Fathi pun sebenarnya hampir hilang kata-kata mendengar kisah itu. Tidak sekali pun Fathi mencelah sepanjang Ahmad bercerita 'memori itu' secara langsung di corong radio itu.

"Terima kasih sebab bagi saya peluang untuk bercerita. Doakan saya dan seluruh umat Islam diberikan taufik dan hidayah yang berterusan dan menerimanya dengan hati yang bersih, assalamualaikum," Ahmad menamatkan bicara.

"Wa'alaikumussalam,"

Terasa lega sangat. Kini, baru rasa seperti Ahmad belajar untuk tersenyum dengan erti senyum yang sebenar. Terima kasih ya Allah. Ampunkan segala dosa kedua orang tua aku ya Allah.


p/s: sebuah kisah benar yang kinah ubah sikit untuk disesuaikan dengan idea yang ada dalam kepala. Sekadar mengisi masa lapang dan didoakan agar sama-sama dapat ambil iktibar sedikit sebanyak kisah ini.

Jom berkongsi