Wednesday, December 8, 2010

::Memori Itu : Andai Itu Takdirnya ::

Jam menunjukkan tepat 7.50 pagi. Kesesakan jalan yang terbentang di atas hamparan jalan raya memang tidak mampu disangkal lagi tiap kali tibanya waktu-waktu begini. Masyarakat bandar berpusu-pusu untuk ke tempat kerja mereka, maka tidak hairanlah seribu satu macam perangai yang terpamer oleh sikap pemandu-pemandu ini.

Seperti biasa juga, Fathi yang bertugas di salah sebuah stesen radio tempatan, Ceria.fm menjalankan tugasnya. Menghiasi warna halwa telinga pendengar di pagi hari dengan warna-warna ceria mahupun bercorak muhasabah diri. Segalanya disesuaikan dengan 'mood' para pendengar. Ada kala lagu-lagu berentap pop rock yang mempunyai mesej yang tersendiri turut berada dalam 'play list'nya.

"Buat anda yang baru sahaja mendengarkan Ceria.fm, saya mengucapkan assalamualaikum dan selamat pagi. Terima kasih kerana memilih stesen radio ini sebagai juadah telinga anda di pagi hari. Bagi abang-abang yang sedang dalam perjalanan untuk ke tempat kerja, berhati-hatilah ketika memandu," pesan Fathi buat pendengar. Itu sudah menjadi lumrahnya sebagai seorang penyampai radio, selain memutarkan lagu-lagu permintaan pendengar, dia turut bertanggungjawab untuk mengingatkan pendengar-pendengar berkenaan beberapa isu yang mungkin di pandang remeh oleh sesetengah pihak.

"Seperti biasa, setiap hari kita ada topik-topik baru untuk dikongsikan bersama, untuk sama-sama muhasabah diri, untuk mengingatkan diri dan mungkin tanpa sedar dapat memberi pengajaran kepada pihak lain. Pagi ini kita membincangkan topik 'Memori Itu'. Mungkin pendengar di luar sana mempunyai memori tersendiri yang ingin dikongsikan bersama untuk sama-sama kita semua ambil pengajaran malah tidak salah untuk berkongsi memori-memori yang indah-indah bersama insan tersayang,"

"Seperti biasa, anda semua boleh menghubungi saya di talian tetap kita mahupun boleh menghantarkan email kepada kami, insyaAllah saya akan bacakan email anda,"

Suara Fathi itu seakan ada tarikan magnet yang tersendiri buat Ahmad, malah dia lebih tertarik kepada topik yang dibuka pagi itu. Memori itu. Yup, memori itu. Ahmad terbawa sebentar melayari memori silam yang ntah berapa lama tidak tersingkap kembali dalam diari hidupnya.

Kisah sebuah pengharapan seorang anak buat ayahanda yang tercinta agar menemui jalan yang diredhai dalam keadaan yang terbaik. Namun, Allah jualah sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui, kita hambaNya hanya mampu berdoa dan berusaha, selebihnya berserah pada yang Maha Esa.

"Nampaknya kita ada pemanggil di talian, siapa di sana??" sapa Fathi.

"Assalamualaikum, ni Ahmad dari Damansara," pembuka bicara Ahmad di corong pagi itu.

"Wa'alaikumussalam.... Ahmad, ni tengah dalam perjalanan ke pejabat ke??" sapa Fathi sebagai mukhadimah perkenalan kepada pendengar.

"A'ah, dalam perjalanan ke pejabat sekarang ni tapi dah nak sampai dah,"

"Ok Ahmad, apa memori yang bermain dalam kepala Ahmad sekarang ni...kongsikan bersama,"

"Kadang-kadang rasa macam tak nak kongsi pun ada kisah ni, cuma harap ia dapat jadi pengajaran bersama. Kisah keluarga saya sendiri. Kisah ni dah makan masa berpuluh tahun dulu dah, lagi pun dah lama tak buka kisah ni dalam hidup, cuma tiba-tiba teringat semula lepas dengar tajuk yang Fathi buka pagi ni," Ahmad mula terasa sesak nafas, bukan kerana ada asma, namun untuk mengimbau kembali kisah itu benar-benar membuatkan dia sesak nafas.

Sebuah kisah yang bermula ntah bila masanya, cuma segalanya tersedar saat peristiwa itu menjadi 'barah' dalam keluarganya. Pagi itu, terasa air mata jantannya ingin gugur menyembah bumi, namun selagi kudrat yang ada, dia akan mempertahankannya.

Bagaikan mesin yang 'overload' dengan simpanan memori, begitulah kotak mindanya ligat memutarkan kembali kisah silam. Satu persatu kisah hidupnya itu mula mengambil tempat.

" Ya Allah, ampunkan dosa aku, bukan aku berniat untuk mengaibkan keluargaku, tidak sama sekali. Aku kongsikan kisah ini segalanya demi untuk kebaikan bersama. Aku mahukan masyarakat luar sana sama-sama mengambil pengajaran dari apa yang telah Engkau takdirkan untuk aku sekeluarga," Ahmad berinterlog dalam dirinya. Risau-risau perbuatannya itu akan membuka aib keluarganya.


******************

Ayah, itulah gelaran yang dia berikan kepada Encik Kamal Bin Adli. Apakah sebuah anugerah atau sebaliknya berbapakan 'ayah' buat Ahmad dan adik-adiknya?? Soalan itu kerap mencuri ruang masa yang ada dalam diri Ahmad lantaran cukup kesal akan tindakan ayahnya semasa hayat orang tua itu.

Sejarah hidup Ahmad dan adik-adiknya cukup pahit untuk dikenang. Tiada yang manis untuk buatnya tersenyum, tiada yang indah untuk buatnya tertawa. Malah, air mata bonda kerap menghiasi bingkai kehidupan mereka sehari-hari.

Ayah, kehadiran ayah di dunia benar-benar buat along, adik-adik dan ibu terseksa. Along tak faham apa salah along dan adik-adik, apatah lagi salah ibu. Ayah tiba-tiba berubah menjadi seorang yang sangat kasar, ganas, pemarah dan kaki pukul. Memang kejam along 'label' kehadiran ayah sebagai terseksa, tapi itu hakikat.

Bila ayah balik kerja, ntah mengapa sebab yang kecil pun jadi besar. Along masih ingat lagi, ada satu hari tu, ayah pukul ibu sampai berdarah. Ayah, ibu tak salah malam tu, along yang benarkan adik-adik mandi hujan sebab mereka dah lama tak mandi hujan. Along yang salah, tapi ayah tetap marah ibu. Sedangkan, masa ayah balik tu, ibu tengah hidangkan lauk makan malam kita, habis semua ayah campak. Kaca yang pecah tu ayah guna untuk pukul ibu, ibu jerit sakit tapi ayah sikit pun tak endah.

Ayah, biarpun kisah ni dah berpuluh tahun, tapi along simpan kemas dalam memori along. Along dah ada anak sekarang ni. Along faham perasaan penat lepas balik dari kerja dan berdepan dengan karenah anak-anak. Tapi, along tak pernah ajar anak-anak along dengan kekerasan.

Bertahun kami hidup dalam keadaan macam tu. Mulanya tiada siapa yang tahu, tapi lambat laun jiran tetangga mula mengetahui kisah kita sekeluarga.

Bila Pak Mat cakap dia nampak ayah dekat kedai nombor ekor, along tanya ayah betul ke. Masa tu along nak SPM. Ayah marah along cukup-cukup sampai ayah nak tetak along tapi adik. Adik selamatkan along. Tak tahu syaitan mana yang rasuk ayah masa tu, along tanya ayah baik-baik, tapi ayah terus ke dapur ambil parang.

Ayah, ayah ingat lagi tak masa tu, adik berlari peluk along. Adik menangis peluk along, adik cakap, dia sayang along, dia benci ayah. Ayah ingat lagi tak??

"Ayah jahat. Ayah jahat. Adik sayang along... Ayah jahat," itu sahaja kata-kata yang keluar dari mulut adik.

Biarpun adik baru 5 tahun, tapi adik tertalu dibebankan dengan keadaan keluarga kita yang 'bahagia' ni. Mungkin malam tu adik tak perlu rasa tertekan lagi, sebab tu adik pergi. Ayah tertetak adik, bukan along. Adik selamatkan along. Ayah tertetak leher adik sebab masa tu adik tengah peluk along kat sudut dinding rumah kita. Ayah ingat lagi tak malam tu??

Itu kejadian pertama yang paling berdarah dalam keluarga. Ibu tak mampu buat apa-apa sebab ibu pengsan. Darah banyak sangat keluar masa ayah pukul ibu.

Nasib baik malam tu angah kat asrama. Kalau tak, dia terpaksa melihat kejadian berdarah yang sudah tentu akan menghiasi tidur malamnya selama hayat dikandung badan. Bertuah adik, adik terpilih untuk kembali lebih awal. Mungkin sebab adik memang takde dosa kat dunia ni, maka dia tak perlu untuk tanggung semua ini.

Masa pengebumian adik, ayah dah lari daripada rumah masa tu. Ibu pula kat hospital. Along tak bagi tahu angah pun. Tak nak kacau dia study, tapi study along?? Along nak SPM...jiran-jiran alhamdulillah ramai yang tolong sebab mereka tahu hal sebenar, cuma mereka takut nak masuk campur. Tiada air mata langsung yang turun masa tu. Ntah dari mana datangnya kekuatan.

Ayah tahu, masa sembahyangkan jenazah untuk adik, ramai sangat jemaah yang sama-sama sembahyangkan. Masa tu along terharu sangat. Mungkin, pemergian adik dalam redha Allah masa tu. Allah jemput adik dengan cara yang sungguh memilukan, tapi Allah tunjukkan keberkatan pemergian adik dengan iringan doa dari ramai jemaah yang mendoakan kesejahteraan adik. Along rasa macam orang gila masa tu. Dengan ibu di hospital, tiada orang yang menemani di sisi, dengan angah di asrama yang langsung tidak di khabarkan tentang pemergian adik, along nak SPM...Ya Allah, dugaan apakah ini yang Kau atukan.

Along ingat, lepas peristiwa malam tu ayah akan berubah, tapi dugaan along meleset sama sekali. Lepas bertahun ayah hilangkan diri, ibu dah kembali sembuh dan along sudah berhenti belajar, ayah memunculkan diri semula.

Ayah tahu, biarpun kisah 'pemergian' adik malam tu merupakan kisah yang along takkan lupa sepanjang hayat along, tapi along tak pernah berhenti berdoa agar ayah diberikan taufik dan hidayah agar kembali ke pangkal jalan. Sebab, ayah tetap ayah along. Along terhutang darah dengan ayah. Sebab ayah, along ada di dunia ni.

Ayah tahu, kadang-kadang along bersyukur sangat dalam keadaan macam ni, sebab along percaya, Allah nak bagi pahala kat along untuk berbakti pada ibu dan adik-adik. Cuma, cara Allah nak bagi pahala kat along ni, silap langkah boleh jadikan along anak derhaka juga kalau along tak sabar. Ayah, terima kasih sebab jadikan along lebih tabah.

Sekembalinya ayah ke teratak kita semula, umpama bisa ular yang terus tersisa dalam tubuh. Sinar yang diharap menyinari perubahan, mendung yang ditiup melindungi akhirnya. Paling pedih, mendung itu terus hilang, sebab awan hitam berganti tempat. Ujian apakah lagi yang tersusun untuk along, angah dan ibu??

Sikap ayah makin teruk. Kali ini, jiran tetangga tidak lagi mengambil langkah berdiam diri. Mereka mula berani bersuara menentang ayah. Mungkin tak tahan dengan penderitaan yang terpamer pada ibu. Kesan lebam dan parut luka yang baru mula memudarkan diri, kini bertambah lagi.

Along masih ingat pesan ustaz masa di sekolah dulu.

"Biar sesiapa pun ibu bapa kita, mereka tetap ibu bapa kita sampai akhirat kelak. Biar seburuk mana mereka, biar sejahat mana mereka, disitulah bermula dunia seorang anak. Jangan pernah letih dan jemu berdoa untuk kebaikan mereka. Sebab janji kita saat dilahirkan di dunia ini adalah untuk menjadi khalifah di bumi. Maka, genggamlah janji itu seeratnya. Jangan biarkan janji itu terbakar dek kerana khilaf mereka. Mungkin ada khilaf mereka dalam mendidik anak-anak, tapi anak-anak yang diberi hidayah lebih dari ibu bapanya, tak salah untuk membimbing kembali ibu bapa kita. Kerana kita hidup berkongsi satu dunia yang dicipta oleh SATU Tuhan yang ESA." tersisip kemas pesan ustaz yang ringkas itu dalam benaknya.

Along selalu pesan kat ibu, jangan pernah jemu buat solat hajat agar ayah diberikan taufik dan hidayah, agar ayah kembali bertaubat, doakan segala kebaikan buat ayah, dikurniakan keselamatan dari api neraka jahanam dan paling penting, satukan keluarga kita di syurga nanti. Tapi, ibu pun manusia. Ada masa ibu terasa lemah sangat, ibu sentiasa menadah tangan dalam esak tangisnya tak kira tempat dan masa. Along sumber kekuatan ibu, along kena kuat.

Hari tu, ibu nak buat kenduri doa selamat untuk arwah adik. Buat secara kecil-kecilan, tapi alhamdulillah sangat sebab ramai sangat jiran-jiran datang tolong. Mungkin betul, pemergian adik dalam lindungan Allah, segalanya jadi mudah semasa menguruskan jenazah adik, malah hingga ke hari ini untuk mengadakan kenduri doa selamat adik.

Sedang sibuk jiran tetangga menyiapkan apa-apa yang patut untuk tahlil malam ini, along masuk bilik adik. Lama rasanya tak berkunjung ke ruang kecil itu yang penuh dengan tawa riang yang cukup menghiburkan hati. Along terjumpa sebuah lukisan.

Mungkin tidak cantik untuk dijadikan tatapan umum tapi terlalu syahdu along melihatnya. Ayah tahu, adik lukis apa. Ada seorang lelaki dan perempuan dewasa sedang berpegangan tangan dan di kiri kanan mereka ada tiga kanak-kanak, dua lelaki dan seorang perempuan. Kanak-kanak lelaki yang paling tinggi itu tertulis nama 'along', kanak-kanak perempuan yang bertudung comel itu pula tertulis 'angah' dan yang kecil sekali, 'adik'. Terlalu lusuh hati ini melihat lukisan itu yang terlukis dengan seribu satu pengharapan dan keikhlasan yang tiada tandingan.

Apa sebenarnya yang bermain dalam fikiran adik masa melukis lukisan ini agaknya, duga along. Adik, along rindu adik, adik doakan keluarga kita bahagia macam orang lain ye. Doakan along kuat jua untuk tolong keluarga kita.

Malam itu, alhamdulillah, seusai maghrib, majlis tahlil bermula. Ayah masih tidak menampakkan dirinya. Mungkin bagus juga ayah tidak pulang, jika tidak pasti kacau bilau jadinya di rumah itu.

Panjang umur ayah. Baru terdetik di hati along. Dari jauh terdengar suara ayah menyanyi lagu ntah apa iramanya. Cahaya lampu malam yang suram menerangi jalan raya yang menjadi laluan masyarakat yang lalu lalang termasuk ayah pada malam itu. Terlihat tubuh badan yang berjalan dari jalan raya itu menghala ke pintu rumah. Along sedar, jiran-jiran yang ada di dalam rumah sedar akan kepulangan ayah ke rumah malam itu. Namun, masing-masing membutakan mata dalam meneruskan majlis tahlil malam tu.

"Apa ramai-ramai ni kat rumah aku?? Apa yang korang bising-bising ni??" bentak ayah setibanya di muka pintu rumah.

"Kamal, jom masuk dulu. Kami tengah buat tahlil untuk anak bonsu kau. Jom masuk dulu," pelawa Pak Mat selaku jiran yang paling rapat dengan keluarga itu.

"Sapa engkau nak ajak aku ni. Kau jangan nak sindir aku,"

"Bila kau nak berubah ni Kamal?? kau tak kesian ke kat bini dan anak-anak kau. Tak cukup lagi ke kau dah bunuh adik?" Pak Mat mula hilang sabar bercakap dengan orang yang tak pakai otak ni.

"Kau sibuk ni kenapa. Aku yang kawin dengan bini aku, aku punya suka la." Ayah menjawab cakap Pak Mat dengan nada yang cukup sinis. Seperti memendam perasaan yang cukup benci pada leteran yang menyambutnya di muka pintu itu. Selari dengan itu, kaki ayah menghala ke dalam rumah. Matanya ligat mencari wajah ibu. Semua jiran terpaku melihat kelibat ayah di dalam rumah itu.

"Kau cerita pada jiran semua ye aku pukul kau, aku sepak terajang kau. Kau sengaja nak malukan aku kan. Kau suka la ada orang bela kau," herdik ayah sambil menolak kepala ibu.

Malam itu, biar kasar bagaimanapun tingkah ayah, tiada air mata yang mengalir di pipi ibu. Tiada kata-kata yang dibalas, cuma diam membisu. Sesekali tangan ibu menepis tangan ayah yang cuba memukulnya.

"Kau dah pandai melawan aku ye,"

"Kamal, sabar Kamal, bawa mengucap," Pak Mat cuba leraikan ayah. Manakala jiran yang lain mula meninggalkan perkarangan rumah, risau keadaan menjadi lagi teruk.

"Aku dah lama sabar dengan kau, kau tahu tak, aku cukup benci dengan kau. Aku tak pernah sayang kau dan anak-anak. Aku tak tahu macam mana aku boleh setuju kawin dengan kau," ayah mula meluahkan isi hatinya.

"Abang tak pernah sayang saya?? Baik, saya terima. Tapi, anak-anak?? Itu apa, nafsu abang?? Atau sebuah kebetulan??" kesabaran ibu tiada lagi bertapis.

"Perempuan jalang," kemarahan ayah semakin menguasai diri.

Terlalu pantas. Sekelip mata ayah berada depan ibu dan menolak ibu ke dinding sehingga papan yang reput itu berlubang sedikit. Kali ini ibu tiada lagi berdaya. Doktor pernah memberitahu bahawa organ dalaman ibu banyak yang telah rosak ekoran kekerapan menjadi mangsa kepada ayah, malah ibu berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk lumpuh malah lebih teruk dari itu.

"Hei orang tua!! Kurang ajar. Berani kau pukul ibu aku. Apa salah dia dengan kau ha?? Pergi mampus kau orang tua!! Aku tak pernah ada bapak macam kau"

Along hilang sabar. Dek kerana ayah mabuk malam itu, ayah tak mampu lagi membalas tumbukan along. Along melepaskan segala rasa yang dipendamnya selama ini.

"Mati kau!!"

Benarlah, malam itu merupakan malam terakhir 'penderitaan' mereka sekeluarga. Angah yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati setia peristiwa itu terpaku di suatu sudut rumah. Dia terlalu fobia untuk melihat sebuah pergaduhan. Apatah lagi berlaku di dalam rumah yang dia dibesarkan sejak lahir.

Ayah mati dalam keadaan mabuk. Sama ada dia mati kerana tumbukan along yang terlalu kuat atau sememangnya ajal menjemput tiba, itu bukan agendanya. Along berasa puas. Ibu takkan lagi rasa terseksa dipukul ayah dan adik tak perlu fobia lagi dengan apa yang terjadi.

Namun, jauh di sudut hati, along berasa kesal. Kerana andai dia terus menahan kesabarannya malam itu, mungkin ayahnya masih ada peluang untuk menemui sinar keinsafan untuk kembali ke pangkal jalan dan memungkinkan mereka sekeluarga hidup bahagia seumpama keluarga yang lain.

"Ampunkan aku Ya Allah" itulah doa keramat yang sering diulang along dalam titipan doa dalam solatnya. Terasa berdosa yang amat kerana menjadi anak yang derhaka malam itu.


****************


"Saya tak tahu kenapa saya cerita ni pada semua, tapi mungkin para pendengar dapat sama-sama menilai mana yang baik dan sebaliknya. Andai ada pendengar yang mengenali diri saya dan mengetahui kisah ini, sama-samalah ambil pengajaran. Seperti yang saya cakap di awal tadi, bukan untuk mengaibkan keluarga, tapi untuk muhasabah diri bersama. Anak-anak bukan untuk diternak, tapi dididik. Ibu bapa pula, hiaskan corak didikan anak-anak dengan bingkai agama yang sebenar. Jangan dikisah andai diri kita sendri yang bergelar ibu bapa ini tidak mempunyai nilai agama yang tinggi, gunakan rasa kesedaran itu untuk menyelami dasar ilmu Allah dengan menggunakan tangki kesabaran, buangkanlah pukat keegoan yang ada dalam diri." Ahmad terkedu. Tak sedar ada air mutiara yang mengiringi tiap tutup bicaranya pagi itu biarpun tidak lebat seperti cuaca di luar.

"Subhanallah, sebuah perkongsian yang tiada siapa duga. Sebuah kisah yang cukup dengan ramuan pengajaran untuk sama-sama kita nilaikan. Tiada apa yang ingin saya huraikan, terpulanglah pada para pendengar menafsirkannya. Terima kasih saudara atas perkongsian itu," Fathi pun sebenarnya hampir hilang kata-kata mendengar kisah itu. Tidak sekali pun Fathi mencelah sepanjang Ahmad bercerita 'memori itu' secara langsung di corong radio itu.

"Terima kasih sebab bagi saya peluang untuk bercerita. Doakan saya dan seluruh umat Islam diberikan taufik dan hidayah yang berterusan dan menerimanya dengan hati yang bersih, assalamualaikum," Ahmad menamatkan bicara.

"Wa'alaikumussalam,"

Terasa lega sangat. Kini, baru rasa seperti Ahmad belajar untuk tersenyum dengan erti senyum yang sebenar. Terima kasih ya Allah. Ampunkan segala dosa kedua orang tua aku ya Allah.


p/s: sebuah kisah benar yang kinah ubah sikit untuk disesuaikan dengan idea yang ada dalam kepala. Sekadar mengisi masa lapang dan didoakan agar sama-sama dapat ambil iktibar sedikit sebanyak kisah ini.

No comments:

Post a Comment

Jom berkongsi