Wednesday, November 24, 2010

:: Kisah Untuk Kesah ::

Salam alaik buat semua...bersyukur yang tak terhinggakan rasanya diri ini kerana saat ini kita semua masih di beri pinjam segala nikmat yang ntah bila kita syukuri dengan erti sebenarnya.... Terasa diri ini terlalu kufur nikmat...

Bagaimana dengan iman semua?? kinah saat ini baru mendapat berita yang teramat 'best', sungguh terasa ujian yang datang. Benarlah, setiap apa yang kita pernah tuturkan, Allah akan uji kembali pada diri sendiri kan....moga kinah kuat, istiqamah dan tsabat di jalan ini. Pengemis ilmu yang ntah bila akan bertukar statusnya...

Semalam, menyaksikan kinah dan beberapa sahabat menonton bersama rancangan Bersamamu di TV3. Kisah 3 orang sahabat sejati yang setia menjaga sahabat mereka yang Allah uji dengan agak dahsyat di mata kinah.

Ntah mengapa, air mata wanita ini murah seketika semalam kerana gugur jua menyembah bumi biarpun mencuba untuk menahannya...weeeee....

Kisah mereka tu telah membawa kinah kepada sebuah memori lama...memori yang rasanya tak rugi untuk berkongsi bersama buat renungan bersama.


*************************

"Ina, tolong hantar makanan ni kat tok..." pinta mak cik buat anak sedaranya yang hampir sebaya dengan anak bongsunya.

Pagi itu jika diikutkan merupakan pagi yang teramat istimewa baut semua umat Islam di dunia dan sudah tentu teramat istimewa buat ina sekeluarga. Pagi Hari Raya Aidilfitri....

Kedinginan pagi yang seperti merahmati pagi itu benar-benar meresap ke dalam diri. Embun pagi yang terus sudi menemani kedinginan itu saling melengkapi antara satu sama lain. Dunia terus berputar dengan 'patuh'nya...bagaimana pula manusia yang menghuninya?? Apakah turut sama 'patuh' pada pencipta alam ini.....astaghfirullahal'azim...

Tok...itu adalah gelaran kami malah orang kampung turut memanggilnya, seorang nenek yang tinggal bersendirian bersama suaminya tanpa belaian anakanda tersayang di sisi. Rumah yang berada dalam lingkungan 20m radius dari rumah ina sudah tentu berada dalam 'pemerhatian' ina sekeluarga.

Pagi itu, setelah mak cik minta sorang demi sorang anak saudaranya untuk menghantar makanan pada tok, akhirnya ina mengalah....sepupu ina yang lain semuanya memberi seribu satu alasan untuk mengelak. Ntah apa agaknya yang berada dalam kepala mereka.

Ina yang jarang bersua muka dengan tok, sudah tentu berasa gementar saat untuk menghantar makanan tersebut pada tok di rumahnya biarpun jarak bukan menjadi halangannya.

"Assalamualaikum...." ina memulakan kedatangan yang tak diundang itu dengan ungkapan mulia, memberi salam.

Ina yang turut ditemani dua orang sepupunya, yang bertindak sebagai peneman terasa sedikit selamat...ntah apa yang dirisaukannya.

"Awok anok sape??" soal tok ringkas pada ina. Biarpun tiada riak pada wajah tua itu, namun ina merasakan tok cuba bermesra dengannya.

"Erm.....cucu pak long yosuf, anok leha." Ina tak tahu macam mana nak menyusun ayat bagi menjawab soalan itu, baginya, mungkin tok takkan mengenali bondanya.

"Awok anok ton ye..." balas tok. Aduh, lain ina cakap lain pula tok membalasnya.

"A'ah..anak ton," ina mengiyakan sahaja, tak mahu dipanjangkan kisah di situ. Lagi pula dalam fikirannya, nak segera balik rumah.

Suasana sekitar rumah tok agak menyeramkan dirinya. Buat pertama kali dalam hidup ina turun ke rumah itu, yang selama ini hanya melihatnya dari atas jalan. Permukaan muka bumi di kampung ina yang berbukit bukau membuatkan rumah tok berada di bawah bukit sedangkan jalan raya lebih kurang sama tinggi dengan bumbung rumahnya.

Teramat jarang mendengar berita tentang tok dari mana-mana penduduk kampung lantaran tok yang seperti tidak suka ada orang berkunjung ke rumahnya.

Saat ina menghantar makanan tersebut, tok sedang mencakar sampah di laman rumahnya sedangkan suaminya ada di belakang rumah, mungkin tengah mencakar juga duga ina.

Menurut cerita mak cik dan sepupunya yang tinggal di kampung itu, tok dan suaminya memiliki anak yang agak ramai dan anaknya kini dikatakan hidup agak senang saat ini. Tapi, di mana dan mengapa anaknya berbuat begini, tiada siapa mampu menjawabnya....

Sebaik ina sampai di rumah, dia menceritakan kembali apa yang terjadi padanya saat menghantar makanan itu tadi, dan ina menjadi bahan ketawa oleh saudara mara yang lain kerana masing-masing menjadi geli hati saat mendapat khabar yang tok mengingati bahawa ina adalah anak ton...

Ina...hanya tersenyum tawar. Dahlah takde siapa yang sudi nak hantar makanan tadi, bila balik pula digelakkan saudara mara...ina berintralog di dalam dirinya, mengomel apa yang dirasanya.

"Tok, tok tahu tak hari ini hari raya??" soal mak cik pada tok saat tok sedang melintas rumah kami. Mungkin tok nak ke kedai barangkali membeli barang sedikit buat barang dapurnya.

"Tahu pulak." seperti biasa, tiada ekspresi di wajahnya yang sudah dihiasi oleh garis-garis usia yang mungkin terkilan lantaran ketidakpulangan anak-anak ke kampung yang terlalu lama.

"Mari masuk dulu tok..kita makan-makan dulu," pelawa mak cik.

Tiada kata yang dibalas, cuma langkahan kakinya mengisyaratkan bahawa tok bersetuju untuk masuk ke rumah kami. Mak cik ina yang bertugas sebagai guru tadika di kampung tersebut sudah tentu mempunyai ramai tetamu di kala pagi raya itu.

Maka, kemeriahan rumah itu bertambah dengan kedatangan tok lagi.

"Tok, pakai baju raya nak tak," mak cik mula menawarkan sehelai baju kurung buat gantian agar tok merasa meriahnya raya kali ini.

Menurut cerita, ina mendapat tahu bahawa tok tak pernah menukar baju kurung yang dipakainya yang ntah berapa lama usianya.

Tapi, nak jadi ke cerita, biarpun mahal mana baju yang di berikan pada tok, baju kurung yang dipakainya itu juga yang menjadi pilihan. Mungkin baju itu merupakan sejarah lama yang tebal dengan kenangan tersendiri yang tiada siapa antara penduduk kampung mengetahuinya.

Biar kisah itu lama berlalu dalam diri ina, namun segalanya terakam kemas dalam kotak memorinya. Usia yang baru mencecah 10 tahun tidak menghalang ina untuk terus mengingati peristiwa itu sehingga kini.

Beberapa tahun selepas itu, ina mendapat khabar berita yang sangat membuatkan dia tersedak dari erti sebuah kehidupan sebagai anak.

Suami tok meninggal dunia tanpa ada seorang penduduk kampung pun mengetahuinya. Rumah mereka yang tiada bekalan elektrik dan air bersih itu bukannya tiada penduduk kampung yang ingin membantu, tapi tok tidak membenarkan sesiapa mendekati rumahnya itu sangat.

Takdir Allah, ntah macam mana ada seorang jirannya mungkin terhidu bau yang kurang enak dan terlihat kumpulan lalat yang agak banyak di sekitar rumah tok. Namun, tiada siapa menduga punca kejadian itu.

Setelah dimaklumkan pada ketua kampung, barulah tok membenarkan mereka 'masuk' ke dalam rumah. Alangkah terkejutnya masyarakat yang hadir saat itu.

Terlihat sekujur tubuh terbaring di atas lantai rumah yang dipenuhi dengan najis manusia. Astaghfirullah!!

Disebabkan tiada elektrik dan air, mungkin pengurusan buang air kecil dan besar di rumah itu tidak terurus baik. Tapi, tak sanggup rasanya apabila mendengar kejadian itu yang berlaku pada hamba Allah sekampung.

Seperti lagu lama, umpama mimpi dalam mimpi. Jika dulu ia menjadi tatapan seharian di tv kisah2 sebegini namun tak pernah ina jangkau berlaku di sekitarnya sahaja.

Pernah dikhabarkan salah seorang anaknya pulang ke kampung membawa bersama cucu-cucu mereka, tapi pilu rasa bila mendengar kepulangan anak yang sorang itu tidak sampai setengah jam pun di kampung itu.

Masa berganti masa, kini tiada lagi penghuni di rumah itu kerana tok pun dijemput pulang menghadap Illahi. Moga roh tok dan suaminya di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Amin.

******************************

Watak ina dalam cerita di atas adalah kinah sendiri, 'ina' adalah nama panggilan kinah dalam keluarga. Bukan niat untuk mengaibkan mana2 pihak, namun kisah Bersamamu semalam buatkan kinah terasa nak berkongsi sesuatu dalam blog ini.

Biar apapun yang menjadi bahan di dalam blog tersayang ini, kinah harapkan sedikit sebanyak ada pengajaran untuk sama2 kita renung dan aplikasi. Seperti yang kinah maklumkan dulu, kinah tak pandai nak hurai hadis atau petik mana2 kata2 pejuang Islam atau mana2 kitab, mana yang kinah tahu, kinah tulis. Cuma, jauh di sudut hati, terasa seronok dapat berkongsi 'ilmu kehidupan' dari kaca mata kinah...

Moga sama2 kita muhasabah diri. Kinah bukan sesiapa, insan kerdil yang penuh dengan khilaf, maka diharapkan dengan penulisan ini mampu jadi reminder buat diri kinah...dan teramat sudi kiranya untuk sahabat2 'patah'kan ego yang ada dalam diri kinah ni...

Salam renungan....sebuah KISAH untuk kita semua KESAH....salam kemaafan dari meja penulis.

No comments:

Post a Comment

Jom berkongsi