Friday, September 9, 2011

:: Kata-kata Saya Untuk Awak ::

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
saya mulakan coretan warkah ini dengan penuh air mata dan keinsafan di hati.

Awak, sehingga saat ini saya tidak pernah dapat bercakap dengan awak, dan saya tahu sampai bila-bila pun saya tak akan dapat bercakap dengan awak, melainkan ada keajaiban yang Allah turunkan pada diri awak. Sebab itu saya menulis, biar tak dapat bercakap, tapi saya tetap nak luahkan apa yang saya rasa pada awak. Tapi, saya tulis panjang macam mana pun, saya tahu kemungkinan untuk awak baca semua ini sanga tipis. Seolah tiada kebarangkalian langsung rasanya, tapi semua itu kuasa Allah kan.

Walaupun saya tak pernah bercakap dengan awak, tapi awak pernah 'berbual' dengan ayah saya. Saya hanya mampu melihat dari jauh. Saya tak dapat tangkap langsung apa yang awak 'bualkan' dengan ayah saya, cuma saya nampak ayah dan awak ada la tunjuk itu ini. Saya hanya dapat tengok dari dapur je semua tu.

Bila saya tanya ayah, "Apa yang ayah bualkan tadi dengan budak laki tu"

Ayah cuma jawab, "Takde apa-apalah"

Kalau ayah dah cakap macam tu, saya nak kata apakan. Walaupun saya tak pernah bercakap dengan awak, saya tetap tak dapat dengar suara awak masa awak berbual dengan ayah saya. Macam mana suara awak ye??

Bukan je suara, tapi muka. Saya tak pernah dapat tengok muka awak secara penuh, selalu nampak awak dari sisi je. Tapi, biarpun dari sisi, muka awak membuatkan saya teringat salah seorang sahabat saya dulu. Orangnya kuat pegangan agama, awak pun mesti macam tu juga kan. Kulit hitam manis, tinggi lampai.

Dah berapa kali awak datang rumah saya, tapi awak sentiasa jumpa ayah saya je, dah tu awak tak pernah masuk rumah saya. Berbual dengan ayah kat laman rumah je setiap kali datang. Paling kelakar, saya tak pernah sedar masa bila awak datang. Tahu-tahu dengar suara ayah je, ingatkan ayah cakap sorang-sorang, rupanya awak datang.

Dari dapur saya mesti curi-curi tengok awak. Sebab saya tak pernah kenal awak, sebab saya jarang ada di rumah. Pertama kali saya tengok awak masa bulan Ramadhan baru-baru ini. Selama saya balik rumah ni, memang tak pernah tengok awak pun, tapi masa balik kali ni, awak kerap datang rumah. Siapa awak sebenarnya ya? Kenapa awak datang rumah saya? Jumpa ayah saya plak tu, kenapa...

Awak, masa pertama kali saya nampak muka awak, walaupun dari sisi, saya rasa nak menangis sebab awak tahu tak muka awak sejuk sangat. Bertuah mak awak mengandungkan awak, ada anak seperti awak. Bertuah isteri awak nanti.

Tapi yang kelakar tentang awak ni, pergi mana-mana mesti dengan basikal merah awak tu. Tak pernah tengok awak naik motor. Ayah kata memang semua orang kenal awak dengan basikal merah tu. Popular juga awak ni ye kat kawasan ni, sebab ayah kata memang ramai orang kenal awak. Mesti awak ni betul-betul baik.

Sampai sekarang saya terasa sangat nak kenal awak ni siapa....

Tadi awak datang rumah lagi. Tapi ayah takde masa awak datang petang tadi, mak yang bagi tahu awak. Macam biasa, saya memang tak pernah sedar masa bila awak datang.

Awak memang tak putus asa kan, petang ayah takde, malam pula awak datang. Lepas maghrib tadi awak datang lagi, cari ayah. Kali ini saya dengar bunyi pintu apa semua, tapi saya takut nk buka, saya dengar suara awak tapi tak jelas. Lagi la saya takut nak buka pintu. Tapi masa tu saya tak tahu itu awak.

Mak tak bagi buka pintu, sebab mak memang paling risau kalau orang luar yang datang. Ayah terbaring sebab ayah demam, tak sampai hati nak kejutkan ayah. Tapi masa saya lari ke bilik, nak intai dari bilik, ayah bangun dan jumpa awak di pintu. Sekejap sangat ayah jumpa awak tadi. Kenapa?? Saya cuma nampak kelibat awak dalam gelap je. Buat kesekian kali saya tak dapat tengok awak. Masa saya lari ke ruang tamu depan nak tengok awak betul-betul, pun tak dapat sebab hanya nampak belakang awak je. Mungkin Allah tak bagi saya tengok awak betul-betul kot.

Awak, saya harap suatu hari nanti saya dapat kenal awak, saya nak berkawan dengan awak. Saya nak tahu kenapa awak tetap setia dengan basikal merah tu. Saya nak tahu apa yang awak buat di bumi Allah ni. Banyak sebenarnya saya nak tanya awak. Bila agaknya saya boleh tanya semua ini pada awak??


Tapi....

Saya sedar, sampai bila-bila saya takkan dapat bercakap dengan awak, macam saya cakap tadi, melainkan suatu keajaiban berlaku.

Awak tahu. Diri awak ni membuatkan saya teringat kisah sepasang suami isteri yang saya jumpa masa saya dan sahabat2 ke zoo melaka tahun ni. Masa tu kami berlima. Saja makan angin ke bumi melaka, biarpun pada asalnya perancangan adalah ke port dickson, tapi terpaksa batal. Last-last saya ajak sahabat-sahabat ke melaka, konon-kononnya tahu sangat la kan jalan di melaka tu.

Persinggahan pertama kami sebaik tiba di bumi melaka pagi tu adalah zoo melaka. Bunyi macam kelakar, tua bangka macam ni pergi ke zoo. Tapi itu seronoknya. Jodoh kami bersama sepasang suami isteri ni agak lama. Kami berjalan hampir seiringan di kebanyakkan tempat di zoo melaka. Si suami itu umpama awak. Biar mata manusia mengukur darjah ketampanan lelaki itu, tapi sejuknya wajah awak mengatasi lelaki itu bagi saya.

Si isteri berjalan di samping suami dengan penuh rasa gembira, seolah mungkin ingin mengkhabarkan pada binatang-binatang mahupun pokok-pokok di situ, lihatlah, ku punya seorang suami yang cukup penyayang dan baik hati. Betapa romantiknya pasangan itu jujurnya mampu membuatkan hati-hati yang lain mencumburui termasuk saya. Biarpun pada hakikatnya, suami dan isteri itu sangat berbeza.

Paling meruntun hati, apabila si suami membawa anak kecilnya menaiki gajah dan anak itu menangis semahunya sepanjang berada di atas haiwan tersebut. Tapi, si ayah?? Tidak mampu berbuat apa-apa. Saya yang menjadi penonton di tepi, terlalu sebak melihat semua ini. Ya Allah.

Awak, maafkan saya andai awak membaca tinta ini, dan kata-kata saya mengguris awak, maafkan saya. Saya pasti awak tidak suka orang berkawan dengan awak atas rasa simpati, tapi biarlah segalanya dengan hati yang tulus.

Saat saya di beritahu ayah bahawa adalah bisu saat kali pertama awak datang ke rumah saya, terus ada satu perasaan untuk mengenali awak. Sebab ayah kata walaupun awak bisu, tapi awaklah orang kuat surau di taman perumahan depan rumah saya ini. Ayah kata, awak sentiasa menjadi orang pertama dan terakhir yang berada di surau itu setiap waktu setiap hari biarpun awak bisu.

Awak, mungkin sebab itu saya rasa tenang bila tengok muka awak, sangat menyejukkan.

Saya tahu, saya takkan dapat bercakap dengan awak sampai bila-bila sebab awak bisu, melainkan Allah memberikan keajaibannya. Tapi, awak sentiasa bersemangat bila berbual dengan ayah.


Sebab tu saya tak pernah sedar kehadiran awak di rumah saya, sebab saya memang tak dengar dan takkan dengar suara awak sebab awak bisu...tapi, awak tak pekak. Apa yang ayah cakap, awak boleh dengar. Sebab tu saya selalu ingat ayah cakap sorang-sorang kat depan, rupanya ada awak, awak tak boleh bercakap.

Awak, istimewanya awak. Bertuah sangat Allah cipta awak. Kalau awak tak puas hati ke apa, awak tak boleh nak mengumpat orang, awak tak boleh nak keluarkan kata-kata kesat, semua itu kelebihan awak tau. Allah jaga awak. Cemburunya saya.

Mungkin sebab awak bisu la awak setia dengan basikal awak. Sebab mungkin orang lain tak faham apa yang awak akan cakap kalau awak terlanggar kereta orang ke atau apa. Bertuahnya awak. Saya akan ingat basikal merah itu.

Macam tadi...awak datang malam tadi cari ayah. Saya ada dengar suara macam bagi salam. Tapi saya tak dapat dengar jelas. Maafkan saya sebab berkali saya tanya siapa tu dari dalam rumah. Mesti awak terseksa kan nak jawab soalan saya tu. Mesti orang akan fikir betapa kurang adabnya awak sebab selalu terus masuk tanpa bagi salam. Sebab dia orang tak tahu awak bisu termasuk saya, saya baru tahu masa pertama kali awak datang.

Macam mana awak teruskan hidup?

Betapa mulianya awak. Biarpun bisu, tapi awak tak pernah pekak dari mendengar kalimah Allah, awak tak pernah putus asa dalam mencari ilmu Allah. Saya sangat kagum semangat awak.

Bulan puasa hari tu, surau kat rumah awak tak cukup dana untuk sediakan juadah buka puasa. Awak kayuh basikal sorang-sorang dari kawasan rumah awak hingga rumah saya. Awak tulis pada tangan siap-siap tujuan awak datang dari sebuah rumah ke rumah. Awak buat semua tu segalanya demi nak kutip derma untuk sediakan juadah berbuka.

Macam mana saya tahu semua ni sedangkan saya tak pernah bercakap dengan awak? Ayah saya yang ceritakan semua ini pada saya. Awak, malunya saya. Sebab awak yang tak boleh bercakap ni pun tak pernah jemu dan tak malu untuk berusaha mencari derma untuk surau tempat awak. Saya?? apa je yang saya dah buat untuk agama saya??

Kenapa orang yang bisu macam awak yang kutip derma? Mana pemuda lain yang boleh bercakap, mendengar, berjalan yang sempurna sifat tu? Kenapa awak??

Mulianya awak....kan betul, awak memang bertuah, Allah jaga awak.

Lepas ni, saya akan masukkan awak dalam doa saya. Tak salahkan kalau saya berdoa agar awak dapat bercakap suatu hari nanti?? Sebab semua tu kuasa Allah. Mana tahu suatu hari nanti, saat saya ke surau kawasan rumah awak, awak yang berada di depan sedang memberi ceramah. Tak mustahilkan semua tu terjadi....saya akan doakan awak insyaAllah.

Awak, sampai sini dulu coretan saya kali ini. Saya dah tak larat nak menangis, sebab nanti saya sakit. Saya memang tak boleh menangis sangat, nanti sakit saya datang. Saya kena sihat. Semoga awak istiqamah dalam menjaga rumah Allah tu, dan tak serik untuk berjumpa dengan manusia normal macam saya ni untuk minta derma ke apa walaupun saya pernah lihat depan mata macam mana awak kena halau dari rumah seseorang. Semoga awak kuat. Awak kuat. Awak sangat kuat. Sebab tuhan awak dan tuhan saya adalah Maha Besar!!

Semoga awak terpelihara dunia akhirat. Terima kasih sebab awak dah mengajar saya erti bersyukur dengan sebenar-benarnya. Alhamdulillah.

Assalamualaikum awak.

**********************************************************************

p/s : sekadar sebuah perkongsian dari kinah, sebuah kisah benar yang berlaku pada kinah. Lelaki di atas adalah seorang hamba Allah yang bisu, terkenal dengan basikal merahnya, seorang penggiat di surau kawasan rumahnya dan masyarakat sekeliling sangat-sangat 'respect' pada dia biarpun dia seorang yang bisu. Nama dia, berapa usia dia kinah tak pernah tahu. Yang kinah tahu, muka dia sangat-sangat menenangkan jiwa dan senyuman dia terlalu ikhlas jika dilihat biarpun orang kata ikhlas itu tak mampu dinilai. Bagi kinah, lelaki ini sedikit sebanyak menjadi 'sifu' dalam hidup terutama dalam mencari betapa beharganya setiap nikmat yang Allah bagi. Apapun, terpulang pada sahabat bagaimana mentafsirnya, semoga apa yang kinah nak sampaikan tercapai.

Wallahu 'alam.


No comments:

Post a Comment

Jom berkongsi