Wednesday, September 8, 2010

:: Pulut Kuning dan Duit Raya ::

Pagi tu, suasana hening dipecahkan dengan takbir raya yang sungguh meruntun hati seorang anak yang telah lama kehilangan orang tuanya. Sofea, seorang isteri yang baik dan telah pun dikurniakan dengan dua orang cahaya mata.

Syawal kali itu disambut lagi di kampung halamannya, Kampung Durian Sebakul di Semerah. Kepulangan anak-anak saudaranya turut sama memeriahkan suasana desa itu. Biarpun anak-anak ini tidak lagi mengenal beraya bersama atuk dan nenek, tapi memori bersama masih terpahat di hati.

Syazwan dan syahirah merupakan sepasang putera puteri Sofea. Pagi itu, seusai solat raya bersama penduduk kampung di surau berdekatan, Syazwan dan Syahirah bersama beberapa sepupu yang lain memulakan projek mereka. Beraya satu kampung.

Dalam senarai mereka, tiada istilah pilih rumah. Biarpun raya tahun lepas hanya dapat duit raya yang sikit, tapi itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus datang beraya. Sebab, mereka di ajar agar nilai duit raya itu letaknya di tempat yang kedua.

Rumah pertama, sudah tentu jiran sendiri. Berjumpa dengan anak-anak jiran juga keadaan yang lagi memeriahkan suasana kerana rombongan Syazwan, Syahirah dan sepupunya akan bertambah besar. Maka semangat untuk berjalan satu kampung bertambah-tambah.

Dari sebuah, ke sebuah rumah yang lain. Kuih raya kegemarannya pasti di cari setiap kali bertandang ke rumah orang, itu adalah kewajipan si Syahirah.

Setibanya mereka semua di sebuah rumah yang agak usang ini, ada sesetengah daripada mereka yang berhasrat untuk tidak beraya di rumah itu, tapi tidak bagi Syahirah dan sepupunya. Mereka beranggapan rumah itu tiada berpenghuni lantaran salam yang tidak berbalas.

Mana mungkin tiada penghuninya sedangkan pintu dan tingkap terbuka, malah ini adalah hari yang mulia, hari meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Hati kecil Syahirah tetap mengatakan ingin beraya di rumah itu. Gerak hatinya itu rupanya sama dengan sepupu yang lain.

"Wa'alaikumussalam....jemput naik"

Akhirnya salam mereka berbalas. Seorang pak cik tua berjalan ke arah muka pintu menyambut kedatangan mereka. Kelihatan juga seorang mak cik sedang siap mengisi meja di ruang tamu itu dengan juadah yang pelbagai.

Kuih raya yang pelbagai, baik kuih tradisi mahupun kuih moden, boleh diringkaskan semuanya ada. Malah Syahirah dan sepupunya di jamu lagi dengan pulut kuning bersama rendang.

Pedas....teramat pedas rendang tu. Berair mata sorang-sorang menahan kepedasan rendang tu, tapi perjuangan menghabiskan rendang tetap diteruskan, semuanya gara-gara sedap. Pak cik tu hanya tertawa melihat gelagat Syahirah dan sepupunya.

Mungkin pak cik tu terhibur menerima kunjungan mereka yang tak senang duduk, dek kerana menahan kepedasan ataupun terhibur kerana merekalah tetamu pertama pak cik tu hari ini. Tapi jelas senyuman itu senyuman yang benar-benar lahir dari hati pak cik tu.

Setelah disiasat asal usul mereka, sepinggan demi sepinggan pulut kuning tu mereka bertambah. Tak terasa seperti bertandang di rumah orang, malah makan umpama rumah sendiri. Habis segala keturunan mereka di tanya pak cik tu.

Katanya, arwah datuk Syahirah dan sepupunya itu dikenali pak cik ni. Arwah datuk Syahirah dulu adalah imam kampung, maka agak mustahil jika masyarakat kampung tidak mengenali arwah. Biarpun arwah dikenali sebagai seorang yang serius dan tegas dalam hal agama, tapi sifat kasihnya tiada nilai di mata manusia, terlalu murah...

Saat mengundur diri, mereka tak sedar bahawa mereka telah menghabiskan masa yang agak lama di rumah itu. Rancangan yang pada awalnya nak beraya beramai-ramai, akhirnya tinggal 4 orang sahaja yang sabar untuk menunggu beraya di rumah pak cik tu, yang lain telah lama beranjak ke rumah lain.

Sebelum pulang, mereka mohon maaf banyak-banyak di atas segala salah dan silap mereka, terutama pulut kuning dan rendang yang pedas itu yang telah dihabiskan oleh mereka. Hilai tawa dan senyuman manis pak cik dan mak cik tu yang mengiringi kepulangan Syahirah dan sepupu.

"Nak, pak cik takde duit raya nak bagi ni, pak cik minta maaf," sungguh rendah diri pak cik itu mengungkap kata-kata itu.

"Takpe pak cik, pulut kuning tu sedap sangat, itu lagi mahal," sepupu Syahirah yang tua setahun darinya membalas kata-kata pak cik tu.

Mereka pulang dengan perasaan yang sangat puas. Biarpun impian untuk pusing satu kampung hari tu tergendala, tapi nikmat pulut kuning tu melapisi segalanya. Target mereka, tahun depan, rumah pak cik tu adalah rumah wajib untuk dikunjungi ekoran penangan pulut kuning yang teramat sedap tu.

Tapi, tahun berganti tahun, setiap kali raya, Syahirah dan sepupu pasti akan melalui rumah pak cik tu saban hari sepanjang mereka berada di kampung. Mungkin tiada rezeki untuk mereka. Tahun itulah rupanya pertama dan terakhir kali menjamah pulut kuning yang teramat sedap itu.

Segalanya tinggal kenangan.

Bahkan, Syahirah yang kini sudah pun menuntut di universiti tempatan, masih merindui pulut kuning itu. Khabar yang pernah diterima berkenaan pasangan suami isteri itu amat menyedihkan Syahirah.

Pak cik dan mak cik itu telah tiada lagi di dunia ini. Perkara yang menyedihkan Syahirah, anak-anak pak cik dan mak cik itu sangat jarang pulang ke kampung untuk menjenguk mereka. Mungkin kerana itu lah, kunjungan Syahirah ke rumah mereka di pagi raya itu disambut dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang tanpa mengira apapun.

biar duit raya tidak diberikan, tapi Syahirah percaya pulut kuning dan rendang itu dimasak dengan penuh kasih sayang dan rasa syukur untuk dijamu pada tetamu agar pintu rezeki terus terbuka buat mereka.


**********************************


Cerita ini bukanlah sebuah cerita rekaan, ia adalah kisah benar yang berlaku pada kanak-kanak bernama Shakinah Sukardhi. Watak Syahirah yang diceritakan itu adalah kinah letakkan diri kinah sendiri.

Ini adalah pengalaman peribadi kinah semasa berusia 10 tahun, kira-kira hampir 10 tahun yang lepas kisah ini berlaku. Kisah pulut kuning dan duit raya.

Kinah ingat sequence cerita ini satu persatu lagi dalam kepala ini. Sepupu kinah yang paling ingat kes pulut kuning ni yang berusia dua tahun lagi muda dari kinah. Sampai sekarang, kalau naik motor keliling kampung dengan dia, sepupu kinah sorang ini masih ingat.

Bayangkan zaman kita kanak2 riang dulu...apa erti duit raya untuk kita semua?? Arwah atuk kinah selalu bagi duit berapa tau, 30 sen je. Bukan kinah tak bersyukur, syukur sangat2, tapi tak tahu lah, zaman dulu lain sangat kan.

30 sen tu adalah duit yang teramat banyak dah la tu. Kalau dapat duit kertas, jangan cakap la, dah boleh kata Orang Kaya Baru dah tu.

Tapi, memori kinah dan sepupu ziarah ke rumah pak cik tu, kinah takkan lupa. Kami tak dapat sesen pun duit raya, tapi tak tahu kenapa, hati ini masih terasa gembira yang teramat. Malah dicampur rasa terharu dengan layanan pak cik dan mak cik tu yang sabar dengan kami, ye la, budak2 kan...kalau dah pedas, request macam2.

Antara part kinah takleh lupa, kalau dapat duit raya 50 sen sekeping. Huish, banyak sangat dah tu, tapi kalau dapat duit raya 20 sen dua keping dan 10 sekeping rasa sikit plak, padahal nilai sama je, 50 sen juga. Motif la kan kinah ni....mungkin dapat pegang 50 sen sekeping tu rasa dah besar sangat dah.

Segalanya terbalik bila dipantulkan pada zaman hari ini. Kanak2 yang ada jelas sangat berkunjung kerana duit raya. Sedih, hiba semua ada....nilai berkunjung untuk mohon maaf sudah pudar, nilai berkunjung untuk berziarah mula sepi...segala nilai yang begitu berharga suatu ketika dulu di beli oleh harga duit raya.

Agak2, apa reaksi kanak2 hari ini jika menerima layanan seperti yang kinah terima dalam kisah di atas??

Apakah masih merengek nak duit raya atau sebaliknya?? Kinah berani kata, kanak2 moden hari ini telah di mind set kan untuk mencari duit raya semata. Orang kata, berani kerat jari la....Kalau duit raya tu RM2, itu paling low class la....itu habis rendah la kan.

Tibe2 teringat kisah kinah masa tadika. Kinah ada cerita dalam 10 entry terawal terpublishnya blog ni. Kinah share kisah kinah nak berbelanja di tadika dengan duit belanja hanya 5 sen. Bayangkan, pergi tadika dengan duit 5 sen...apa yang boleh dapat, sangat cemburu dengan kawan2 yang makan ais krim apa semua, tengok poket 5 sen...tapi tak taw la, tak reti nak bising minta duit belanja lebih2 dengan mak ayah.

Bukan la kinah nak bangga diri ke apa, kinah suka untuk berkongsi. Kinah harap sangat anak2 kinah esok bukan termasuk dalam golongan yang nilai telah di beli oleh duit raya itu sendiri.

Namun, hakikat yang terpaksa di telan saban hari semakin jelas membuktikan, dewasa ini, kanak2 semakin hilang erti menziarah ke rumah orang biarpun saudara terdekat.

Bagaimana persepsi ini dapat ditangkis?? Bagaimana persepsi ini akan bertemu penghujungnya?? apakah mungkin situasi ini akan tergolong dalam hukum karma yang berputar pada kitarannya?? Segalanya terjawab dengan bagaimana kita membentuk kanak2 di hari muka.

Moga segala nilai mahmudah yang terkandung dalam erti 1 syawal itu dapat kita kembalikan semula era kegemilangannya....

Salam kenangan duit raya dari meja penulis..salam mohon kemaafan...

No comments:

Post a Comment

Jom berkongsi