Wednesday, June 1, 2011

:: Antara Datang dan Pergi ::

" Ani, abang janji dengan ani yang abang akan kerja rajin-rajin untuk cari rezeki yang halal untuk keluarga kita," luah Azam, bukan menabur janji, tapi itu azam diri juga.

Kalimat itu, kalimat agung rasanya buat penyejuk si isteri yang tetap setia menjadi pendukung utama semangat seorang lelaki bernama suami.

"Abang, ani tak kisah gaji abang banyak mana, yang penting halal abang....ani tetap akan bersama abang tiap detik dan ketika," balas ani dengan penuh rasa kasih seorang isteri.

Tapi, itu dulu. 12 tahun yang lalu saat mentari mula menyinari bahtera perkahwinan antara Muhamad Nurazam Bin Ahmad dan Siti Noraini Binti Mohd Lazim. Tatkala itu, mentari pagi muncul kembali, kehangatannya dirasai bersama suami isteri. Sama2 menanti munculnya salji biar tahu ia takkan menjadi realiti, tapi semua itu tak di anggap mimpi kerana masing-masing masih bermadu kasih.

Kini, segala janji terpatri, pintu rezeki yang semakin di buka Allah, baik rezeki dalam soal nafkah mahupun bilangan ahli keluarga, semuanya berkadar langsung dengan umur kehidupan. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menguasai seluruh isi alam baik di langit mahupun di bumi.

Biarpun kata-kata itu tidak lagi terlafaz sesama mereka, tapi setiap di dalam diri antara Azam dan Ani sudah terpahatnya tanpa perlu disebut lagi. Betapa utuhnya janji itu terpatri dek kasih suami isteri.

Siti Aminah, 10 tahun yang kini menuntut di Sekolah Kebangsaan Chendering, merupakan anak pintar keluarga ini. Biarpun di usia yang masih muda, namun penguasaannya terhadap sirah-sirah para sahabat dan surah-surah ringkas sudah menjadi mainan di bibirnya. Petah dan berilmu, itu gambaran anak kecil ini.

Kehidupannya pernah terisi dengan kehadiran seorang adik perempuan yang 3 tahun jarak usia mereka, namun jodoh mereka sekeluarga tak panjang.

Siti Ainsyah, anak ke dua dalam keluarga ini pergi menghadap Illahi pada usianya 5 tahun ekoran disahkan jantung berlubang. Kisah perjuangannya di bumi ini 'direntap' ketika doktor bertungkus lumus untuk menutup lubang pada jantungnya di dalam suatu pembedahan, tapi segalanya Allah yang menentukan. Berlaku pendarahan dalaman yang banyak semasa operasi itu dan Ainsyah di panggil menghadap Illahi.

Tatkala semua ini terjadi, kerjaya Azam baru mula menampakkan hasil dan kehidupan mereka sekeluarga baru bertambah baik dari masa ke semasa. Sayang, Ainsyah tidak sempat untuk merasai apa yang ibu dan ayahnya sediakan untuk dia dan kakaknya demi masa depan mereka.

"Ibu, kenapa adik tidur lama sangat?" tanya Aminah yang 'ditipu' oleh ibunya mengatakan adiknya sedang tidur.

"Biarlah adik berehat, dia penat masa operate tadi," pujuk ibu dengan nada sebak. Betapa pilunya hati tatkala melihat pemergian anak yang dikandung sebelum dirinya yang dipanggil dahulu.

"O...adik penat ye ibu...sian adik,"

"Aminah, aminah kakak yang baik kan.....," Azam pula cuba menenangkan keadaan.

"Ibu selalu cakap kakak anak yang baik, maknanya kakak seorang kakak yang baik la kan ayah," Aminah membahasakan dirinya kakak dengan sesiapa sahaja termasuk rakan-rakan sekelasnya.

"Pandai anak ayah. Kakak, kalau ada kawan-kawan pinjam barang kakak, kakak marah tak,"

"Kakak takkan marah, sebab ayah kata itu rezeki dari Allah, bukan kakak sorang punye,"

"Pandai anak ayah, lepas tu barang tu kawan kakak pulang semula ke tak pada kakak sepatutnya?" Azam cuba bermain kata agar si anak dapat memahami.

"Sepatutnya dia kena pulangkan balik pada kakak, sebab tu kakak punya." nada Aminah sedikit tegas, mungkin teremosi andai ada kawan-kawan yang tidak memulangkan balik barang-barangnya.

"Erm...Siti Aminah, kita semua ini milik siapa ye?" Noraini yang sudah mula tenteram mula bersuara.

"Ayah pernah cakap, kita semua milik Allah, betulkan ayah?"

"Betul, jadi kalau kita milik Allah, jadi kita perlu ke marah kalau Allah ambil balik barang-barang yang memang milik Dia"

"Barang Allah, Dia boleh la ambil balik," jawab Aminah dalam sedikit kebingungan.

"Sayang, sama ada ayah, ibu, kakak atau adik, kita semua milik Allah kan. Maka, kalau Allah ambil salah seorang dari kita ni, kita tak boleh marahkan sebab itu semua 'barang' Allah. Dan sekarang, Allah dah ambil 'barang' Dia balik" jelas Azam dengan penuh tenang. Dia perlu kuat untuk isterinya dan anaknya.

"Barang apa yang Allah dah ambik dari kita ayah? Ke Allah ambik dari orang lain?"

"Anakku yang solehah, barang yang Allah ambik tu adalah adik. Adik dah pun kembali pada Allah sayang," terdengar kata-kata itu terlafaz dengan sedikit nada sebak yang ditahan.

"o....sebab tu adik tidur lama, rupanya adik dan jumpa dengan Allah," bibirnya mengukir senyum sebab akhirnya berjaya memahami apa yang terjadi. Namun, kepalanya ligat berfikir, Aminah tidak lagi punya teman sepermainan selepas ini.

Cuaca yang sinar itu mula menjadi suram. Mata yang bersinar itu mula menjadi lebam. Segalanya berubah dengan masa.

Dua tahun peristiwa itu telah berlalu. Biar tidak terlalu lama masa itu berlalu, namun kesannya terasa kini, terutama si kecil Aminah.

Kanak-kanak pintar itu terlalu cepat menangkap apa yang berlaku di sekeliling sehingga hari ini. Memorinya cukup tajam dan itu sangat-sangat membuatkan ibu dan ayahnya bersyukur.

"Ibu... ibu... hari ini kakak seronok sangat dekat sekolah, kakak suka sangat kelas agama," tingkah Aminah yang menarik-menarik lengan ibunya itu.

"Anak ibu belajar apa hari ini dalam kelas agama?"

"Ustazah ada ajar tentang bersyukur. Ustazah kata, kita kena bersyukur dengan setiap apa yang Allah bagi, tapi bukan bersyukur sekadar sebut alhamdulillah,"

"Habis tu, macam mana lagi aminah?" ibunya cuba bermain kata, melayan petah bicara si anak kecil agar anak yang solehah itu terus terangsang untuk merasai keseronokkan dalam mempelajari agama.

"Ustazah kata, rezeki yang Allah bagi tu kita perlu berkongsi dengan orang lain juga sebab semau rezeki tu milik Allah, bukan kita punya sahaja, betul tak ibu?" Aminah merasa puas dapat berkongsi apa yang dipelajarinya di sekolah tadi.

"Betul sayang, pandai anak ibu." Sebaik tamat tutur bicara si kecil itu, Aminah berlari-lari anak ke ruang tamu untuk mengambil beg sekolahnya dan masuk ke bilik bagi menukar pakaian seragamnya itu.

"Ibu, ustazah ada pesan, kalau ada dua rezeki yang datang, Allah akan tarik satu, Allah tak kedekut, cuma Allah nak kita bersyukur, macam adik kan, ibu ada dua anak, tapi Allah tarik satu," suara itu agak kuat kedengaran biarpun sayup-sayup kerana tutur bicara itu dilontarkan ketika Aminah sedang berlari-lari.

Namun, kata-kata itu begitu terkesan di sanubari Puan Noraini kerana biarpun anaknya masih di bangku sekolah rendah, namun penghayatan dan contoh yang diberikannya tadi cukup meruntun jiwa keibuannya yang sudah pasti merindui arwah anaknya, Aisyah.

Ya Allah, benarlah apa yang anakku sampaikan itu. Saat bertimbun rezeki yang Kau curahkan kepada hambaMu ini, pasti akan ditarik sedikit nikmat itu. Bukan Kau tidak mampu memberikan kesemua itu, tapi Engkau mahu mengajarkan kami erti syukur yang sebenar. Di saat suamiku mula mendapat rezeki yang melimpah buat keluarga ini, Engkau datangkan ujian dengan menjemput kembali permata hati kami yang kedua itu.Maha Suci Engkau, pemilik segala yang ada di bumi dan di langit, hamba yang hina dina ini memohon keampunan andai pernah terdetik di hati ini akan perasaan tidak ikhlas menerima ujian ini. Sesungguhnya 'malaikat kecil' itu telah menyedarkan aku betapa aku perlu mensyukuri segala yang telah Engkau pinjamkan buat aku.

Puan Noraini berintralog dalam dirinya, memikirkan kata-kata anaknya itu tadi dan adat seorang wanita, mutiara jernih setia menemani pipinya itu. Terima kasih ya Rabb kerana selalu memperingatkan aku.


**************

Sekian sahaja cerita pendek dari kinah, cerita ni kinah garap sebab kinah seperti mendapat teguran dari Allah berkenaan syukur....

Dalam sebuah article daripada hasil pembacaan kinah, ada kata-kata yang menyentuh akan dua nikmat atau rezeki yang diberikan kepada kita ni sebenarnya tidak lari daripada sebuah ujian. Dua rezeki yang kadang2 kita tak sedar datangnya, tapi merasai apabila kehilangannya.

Dalam cerpen di atas, kinah cuba membawa analogi di mana, tatkala keluarga itu mula mendapat rezeki lebih dalam corak kehidupan mereka, Allah menarik salah satu rezeki lain iaitu mendatangkan ujian buat anak bongsu mereka. Biarpun ia sebuah cerita rekaan, namun ada mesej yang kinah cuba sampaikan.

Sebagai contoh, mungkin ada insan yang hidupnya biarpun tidak terlalu mewah tapi cukup makan pakainya, pelajarannya baik, diberi kemudahan itu ini, namun pada masa yang sama dia tidak mewah dengan kasih sayang keluarga....

Mungkin ada insan yang murah dengan kasih sayang keluarga, perhatian keluarga, senda gurau keluarga, namun bergolak gadai demi membeli sebuah rumah mungkin atau seangkatan dengannya.

Syukur, bukan suatu perkataan yang penterjemahannya adalah lafaz di bibir semata, bagi kinah ia perlu seperti mengakuinya di hati dan dibuktikan dengan perbuatan. Bak kata ustaz hasrizal, pendakwah yang amat kinah kagumi, erit hidup adalah pada memberi...memberi itu juga tanda kita mensyukuri...

Rezeki, datangnya dari Allah, bukan untuk sendiri, tapi berkongsi....
Andai ada rezeki yang datang menjenguk diri,
Akan ada yang pergi tanpa kita sedari...
Bukan bukti Allah tidak bermurah hati,
Tapi untuk mengajar erti mensyukuri....

Subhanallah....Alhamdulillah...Allahu akhbar....

Kita sememangnya tidak mengetahui apa yang Dia ketahui...

Salam kesyukuran dari meja penulis, mohon peringatkan penulis dari segala aspek kerana penulis adalah insan jahil yang mencari cahaya.

No comments:

Post a Comment

Jom berkongsi