Sunday, July 10, 2011

:: Kisah Kasih Semangkuk Pulut Hitam ::

"Alhamdulillah, hujan lagi hari ini. Basah lagi bumi Allah ni kan, moga hujan yang turun ini merupakan hujan yang bermanfaat dan penuh barakah Allah," tersenyum Pak Abu menarik nafas sedalam-dalamnya, menikmati kedinginan udara yang dingin itu sambil tangannya tekun mengelap meja makan di kedai makan miliknya itu.

Restoran Keluarga, itu gerai makan yang telah terbina seusia dengan bangunan kedai itu di bina iaitu kira-kira 25 tahun lamanya. Antara bangunan kedai yang terawal di bina di kawasan pekan kecil ini. Biar kecil, namun penghuninya cukup aman damai, cukup mengumpulkan tiga kaum utama negara, masyarakat hidup saling bekerjasama.

Petang itu, petang yang sangat damai, sedamai air Sungai Pahang yang gembira menerima 'ziarah' daripada titisan air langit yang masih setia membuat kunjungan ke bumi ini.

"Apa ni Pak Abu, dah berapa hari dekat kawasan kita ni hujan, orang rumah saya tu nak jemur kain pun payah, tak kering-kering kain," luah Azman yang baru mendirikan rumah tangga tiga bulan itu. Sikapnya yang suka melepak di kedai Pak Abu sejak zaman bujangnya masih terbawa-bawa hingga kini.

"Kamu ni man, kalau hari panas, nak hujan, bila dah hujan bising plak nak ke panas,"

"Bukan apa, saya kesian kat isteri saya je nak basuh baju apa semua susah,"

"Kesian kat isteri ke kat diri kamu, sebab susah kamu nak datang ke sini, sanggup bergolok gadai, basah lenjun datang kedai aku ni ha. Sudah la man, kau dah kawin, jangan lupa tu, bukannya bujang lagi," Pak Abu cuba menegur Azman dalam butir bicaranya.

Namun, Azman tidak menangkap sepatah pun kata-kata Pak Abu itu kerana matanya terpaku oleh tubuh yang sedang basah kuyup di dalam hujan setentang dengan kedai makan tersebut, cuma memisahkan mereka adalah jalan penghubung utama pekan kecil itu.

"Ish, kesian betul saya tengok perempuan tu dengan anak-anak dia tu, basah kuyup dah tu," Azman mula tukar topik kepada apa yang menangkap matanya itu.

"Apa plak ni man, cepat je kau nak tukar topik,"

"Pak Abu, cuba tengok tu.......," bahasa tubuhnya sungguh-sungguh menunjukkan ke arah wanita yang berada di atas jalan raya di pekan itu.

"Ya Allah, apa dia buat dengan anak-anak dia tu tengah-tengah hujan ni," baru Pak Abu faham kini apa yang Azman maksudkan tadi.

"Macam kenal perempuan tu, bukan ke yang kerja kat hospital kita ni, apa dia buat dekat tengah-tengah hujan ni," Hamdi, salah seorang pelanggan tetap kedai Pak Abu seperti mengecam perempuan yang menjadi arah topik perbualan mereka semua kini.

Solehah, seorang ibu kepada dua orang anak, Suhail, 8 tahun dan Suhaila 6 tahun. Benar, Solehah bekerja sebagai seorang jururawat di hospital di pekan itu. Seorang yang sangat pegang pada amanahnya saat menyarung pakaian sebagai jururawat, kerana baginya, setiap pesakit yang datang ke hospital adalah keluarganya sendiri.

"Dia nak bawa ke mana anak-anak dia tu, tengah-tengah hujan ni, ya Allah" Hamdi mula geram kerana kasihan melihat anak-anak Solehah yang menjadi mangsa.

Petang itu, Solehah berhajat ingin membawa anak-anaknya berjalan-jalan di sekeliling pekan kecil itu menaiki basikal kerana ingin menghilangkan kebosanan anak-anaknya. Suaminya yang 'outstation' untuk beberapa minggu, pasti akan mengundang anak-anaknya kebosanan di rumah kerana telah menjadi kebiasaan keluarga itu pulang ke kampung suaminya yang hanya mengambil masa lebih kurang 8 minit dari rumah mereka pada setiap petang. Namun, keseronokan petang itu bertukar kepada sesuatu yang luar jangka.

Si bongsu, Suhaila sekadar membonceng basikal ibunya dan setia memegang payung, memayungi bonda dan dirinya sendiri, manakala abangnya, Suhail memakai baju hujan kerana mungkin agak payah untuk memegang payung.

"Adik, pegang tempat duduk ibu kuat-kuat ya," pesan ibu sekalih melihat ke belakang untuk memesan buat anaknya.

"Abang boleh bertahan lagi tak??" giliran abang pula yang menjadi tumpuan ibu untuk bertanya.

"Abang ok je, ibu jalan la, abang ikut belakang slow-slow," jawab si anak yang soleh itu.

Awan seperti tidak sedikit pun memberi simpati buat tiga beranak ini kerana sedikit pun tidak memberi tanda-tanda akan berhenti, malah untuk hujan reda juga seperti tidak. Makin bertambah kasihan masyarakat sekeliling yang melihat tiga beranak ini berkayuh di tengah jalan pekan kecil itu. Ada yang empati, tidak kurang juga ada yang marah dengan tindakan si ibu kerana membiarkan anak-anaknya basah.

Ntah apa yang tercalit di minda si ibu, terpapar di hati ibu, tiada siapa yang tahu. Apa si ibu ingin terus ke rumah atau sebenarnya cuba mencari tempat berteduh yang terdekat atau apa, tiada siapa dapat menduga.

Dalam teka teki itu, Allah kirimkan kasih sayangNya buat keluarga ini. Selain air mata langit, turut mengiring bersama adalah angin kuat yang semakin menimbulkan kemarahan pelanggan-pelanggan kedai Pak Abu kerana menahan kemarahan si ibu yang sanggup membiarkan anak-anaknya basah bersama.

Deru angin yang bertiup tidak lagi seperti sepoi angin di pantai, tapi seperti badai yang ingin melanda. Allahu Akhbar!

Tapi, percayalah, ibu mana yang sanggup menjeratkan anaknya sekali dalam kebasahan ini, dia cuba yang terbaik untuk anak-anaknya.

Sembilan bulan sepuluh hari, berkongsi darah, makan, minum dan rasa, maka apa lagi yang mampu menghalang detik hati naluri seorang ibu terhadap anaknya, dalam keadaan apapun.

Kayuhan yang sebelum ini terasa payah, payah mendaki bukit kecil dan melawan arus angin itu tiba-tiba menjadi ringan. Hati ibu, Allah akan jaga perasaan mereka.

Gerak hati mengatakan, lihatlah ke belakang dan saat tertoleh di belakang, alangkah terkejutnya Suhaila anak bongsunya tiada di tempat duduk belakang. Basah dek kerana tiada payung yang memayungi tidak lagi di peduli. Si abang pula diam membisu tidak memberitahu ibu apa yang berlaku pada si adik.

Luluh hati ibu tatkala melihat anaknya tersadai di dalam longkang di tepi jalan utama itu dengan tangannya masih setia memegang payung. Tak mampu terfikir dek akal, apa punca si anak boleh berada di situ.

Tatkala itu, tiada bezanya lagi air mata ibu dengan titisan langit yang menghiasi wajahnya. Anak, itu yang pertama dan selamanya yang ada dalam hati, fikiran seorang ibu bernama Solehah ini. Sampai mati, anak adalah keutamaannya dalam apapun.

"Hoiii, berhenti la dulu kat tepi ni, hujan-hujan ni bawa anak tu kenapa???? Basah budak tu," jerit Pak Abu, dia tak mampu lagi menahan rasa geramnya pada Solehah.

Tiada kata, tiada bicara yang terbalas, sebuah senyuman sebagai hadiah kiriman. Itu tindak balas pertama Solehah mendengar kata-kata Pak Abu.

"Abang, bawa basikal tu ke tepi ye," pinta ibu sambil memimpin Suhaila, anak bongsunya yang ntah bagaimana boleh berada di dalam longkang itu.

Benar, tiada beza antara air mata ibu dengan air mata langit, tapi membezakan adalah merah bebola mata yang menjadi bukti. Menangis bukan kerana malu menjadi perhatian masyarakat setempat, tapi mungkin kerana kesal anak-anaknya kebasahan kini.

Suhaila dan Suhail tidak berbunyi sepatah apapun. Tidak merengek, mahupun apa. Suhaila mengalami sedikit luka kecil di bahagian lututnya dan kepedihan yang terasa tidak terluah olehnya.

"Hari hujan-hujan ini sibuk bawa anak tu kenapa," hanya itu kata-kata yang meyambut Solehah di kaki kedai itu.

Basikal mereka di letakkan secara baik di tepi kedai itu.

"Solehah, meh naik rumah aku," Pelawa Hamimah, penyewa rumah di atas kedai Pak Abu yang sebenarnya turut menjadi penonton sejak dari tadi.

Hamimah menyambut Solehah dan anak-anaknya di tangga sisi kedai Pak Abu. Hamimah merupakan rakan sekerja Solehah dan ketika itu masih belum berumah tangga.

"Kau nak pergi mana bawa anak-anak dalam hujan ni ha," Hamimah memula bicara.

Serentak dengan itu, Hamimah sibuk menghidangkan bubur pulut hitam yang di buatnya kepada Solehah dan anak-anak. Bubur yang masih panas itu sudah pasti mampu menjadi ubat yang paling mujarab dalam kedinginan ini, terutama buat Suhail dan Suhaila.

Solehah tak mampu berkata apa, hanya diam membisu, mungkin masih terkesan dengan kata-kata pak cik Abu yang sedikit meninggikan suara. Bukan terkesan kerana berdendam denganya, tapi terkesan kerana baru tersedar yang dia telah 'mendera' anak-anaknya.

Luka di lutut tidak lagi dihiraukan kepedihan yang terasa, keenakan bubur itu melebihi segalanya. Suhail dan Suhaila mengeringkan kebasahan mereka dengan keenak bubur itu yang sangat kena pada tekak mereka. Butir bicara ibunya tidak sedikit pun dihiraukan, malah tanpa sedar, semua bubur yang terhidang itu habis di makan oleh dua beradik ini sedangkan ibunya baru menjamah sedikit apatah lagi tuan rumah, Hamimah.

Andai tadi tiada beza air mata langit dengan air mata Solehah, kini, tenang cuaca di luar setenang nafas Solehah kini. Hujan sudah mula berhenti memuntahkan isinya, dan Solehah bercadang untuk segera pulang ke rumahnya, bagi mengeringkan anak-anaknya sebelum mereka mendapat demam atau selsema.

Dengan lutut yang bersapu minyak, jalan terhencot-hencot sedikit menahan kepedihan ubat, tiga beranak itu terus melangkah menuruni tangga rumah kedai itu untuk meneruskan perjalanan pulang mereka.

Kini, biarpun peristiwa itu sudah di mamah usia, namun hubungan baik Suhail dan Suhaila dengan Hamimah masih terjalin. Suhail dan Suhaila kini sudah menginjak dunia dewasa, sudah menjadi anak teruna dan anak dara. Namun, bubur pulut hitam itu terus dan terus melekat di memori mereka.

Mungkin ada yang beranggapan, argh, segannya berada di tengah-tengah perhatian orang ramai, namun bagi tiga beranak itu, bukan itu yang menjadi agenda mereka, tetapi nilai kepayahan cara mereka dibesarkan di didik itu yang lebih utama. Kasih seorang ibu, kepayahan seorang ibu membesarkan anak-anak saat suami mencari rezeki. Biar ibu berendam air mata, namun ingin dilihat anak-anaknya sinar cahaya, itu matlamat utama sampai si ibu mati kerana anak-anak itu amanah Allah untuk dia dan suami.

Tatkala ini, si anak itu sedang menaip kisah ini dengan juraian air mata rindu, rindu pada ayah bonda yang hidup mereka terlalu banyak dengan luka dalam menyeka duka anakanda.....

Tatkala ini, si anak itu sedang menaip kisah ini dengan perasaan seribu satu rasa, mana mungkin si anak ini mampu membalas jasa mereka....

Tatkala ini, si anak teruna ibu itu sedang sibuk membuat persiapan perkahwinannya tak lama lagi, anak teruna itu akan menjadi suami orang dalam masa terdekat ini insyaAllah, doakan anak teruna itu bahagia sampai syurga dengan isterinya...

Tatkala ini, andai si teruna dan si dara itu bertemu, jika kisah ini yang menjadi topik perbualan dua beradik ini, pasti gelak tawa yang kedengaran, tapi percayalah, jauh di dalam hati, hati mereka menangis merindukan 'kepayahan' yang telah membesarkan mereka...

Hanya basikal yang menjadi kenderaan rasmi keluarga, hanya pekan kecil itu tempat mencari hiburan, hanya ibu, ayah, abang dan si adik tempat bertemu kebahagiaan.

Jika di tanya pada si ibu, itulah insan yang paling tepat untuk bercerita kembali kisah benar yang terjadi pada kami ini, kerana setiap detik peristiwa tersimpan kemas dalam kotak memorinya apatah lagi peti hati terkunci rapi.

Sampai hari ini, si ibu masih mengungkap kata-kata terima kasihnya pada pak cik yang memarahinya itu kerana dia benar-benar terkesan dengan kata-kata itu. Terima kasih pak cik...terima kasih....

Doakan si ibu itu panjang umurnya, umur yang berkat, ibadah yang diterima, dosa yang diampunkan, dipermudahkan azab kubur dan siksa api neraka, begitu jua buat suami si ibu yang sentiasa terpulang senyum sebaik balik daripada mencari rezeki yang berminggu lamanya terpisah daripada keluarga.

Ina sayang mama, abah dan ayen sangat2 sampai ina mati!!!

Sekadar titipan kisah benar hidup kinah masa kinah 6 tahun, yang kinah letakkan dalam 'Suhaila', abang plak dalam watak 'Suhail' manakala mama dalam watak 'Solehah'.....

Ina bangga dengan mama, abah dan ayen!!! Love u guys more than words... Moga Allah merahmati keluarga kita sampai syurga.

Doakan ina jumpa jodoh ina pulak ek....... :-)

Salam memori daripada meja penulis.

No comments:

Post a Comment

Jom berkongsi